‘Kapten Power’ maut dihimpit

Nur Atika (kiri) sebak ketika di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, semalam. Gambar kecil: Wan Mohd Syafiq

Nur Atika (kiri) sebak ketika di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, semalam. Gambar kecil: Wan Mohd Syafiq

ALOR GAJAH – Hajat seorang pembantu juruterbang untuk mencabut undi bagi memilih lot rumah yang dibelinya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 204.1 Lebuh Raya Utara – Selatan, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu, motosikal jenis Kawasaki ER-6n ditunggangi Wan Mohd Syafiq Arief Zolkifli, 27, dihimpit sebuah bas ketika dia dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Simpang Renggam, Johor.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, kira-kira 12.30 tengah malam.

Wan Mohd Syafiq yang bertugas sebagai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan berpangkat Kapten itu menetap di Puchong, Selangor dan bertolak ke Johor kira-kira jam 9.30 malam.

Ibunya, Wan Anum Wan Khalid, 52, berkata, anak kedua dari enam beradik itu sepatutnya berada di Skudai pada jam 9.30 pagi semalam bagi menguruskan rumah yang dibelinya.

“Ahad lalu, hari terakhir saya dapat bercakap dengannya di telefon. Arwah ajak teman ambil kunci rumah yang dibeli di Skudai dan saya setuju nak ikut.

“Arwah ada telefon lagi malam tadi (kelmarin) beritahu akan bergerak dari rumahnya jam 9.30 malam. Tapi masa tu anak lelaki seorang lagi yang jawab sebab saya ke masjid,” katanya.

Menurutnya, anaknya yang juga dikenali sebagai Kapten Power dalam kalangan rakan sekerja, seorang mudah bergaul dan suka membantu, selain sering berjenaka tidak kira ketika bersama keluarga atau kawan-kawannya.

“Arwah anak yang baik dan suka buat joke. Kawan-kawan dia pulak panggil Kapten Power sebab arwah serba boleh. Campak saja mana-mana, Insya-ALLAH boleh. Dia juga ahli jawatankuasa Masjid Pangkalan Udara Subang,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Sementara itu, isteri Wan Mohd Syafiq, Nur Atika Shihnan, 27, berkata, tiada perubahan mendadak suaminya kebelakangan ini, namun mereka hanya sempat bertemu di rumah sebelum dia yang bertugas sebagai jururawat keluar bekerja di sebuah hospital swasta di Bangi.

“Abang sampai di rumah kira-kira 6.30 petang selepas dia ke Labuan Jumaat lepas. Dalam jam 9 malam saya pula keluar rumah dan kira-kira jam 1.30 pagi hanya baca mesej dari kawan suami bagitau abang kemalangan dan minta saya sabar, jangan buat apa-apa.

“Tiada perubahan dari diri dia. Cuma saya ada minta abang tolong tanggalkan gelang emas kahwin untuk dicuci di kedai. Padahal sejak kahwin pada 2013 saya tak pernah tanggalkannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila sebuah bas dipandu lelaki berusia 52 tahun mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba memasuki laluannya di sebelah kiri.

“Bas mengelak ke kanan sebelum hilang kawalan lalu terbabas hingga melanggar besi pengadang jalan.

“Dalam masa sama, motosikal mangsa yang berada di laluan kanan sekali dihimpit bas tersebut lalu terjatuh,” katanya.

Menurutnya, terdapat enam penumpang dalam perjalanan ke Batu Pahat sedang tidur di dalam bas ketika kejadian.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.