Kamal Adli: ‘Kami akan kahwin’

PELAKON filem Pe3, Kamal Adli atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 27, mengaku tercabar apabila rakan baiknya aktor, Fizo Omar sudah pun menamatkan zaman bujang, Ahad lalu.
image
Walaupun dia terlebih dahulu menyulam cinta bersama pelakon, Intan Ladyana, namun Fizo nampaknya lebih pantas apabila membuat keputusan berkahwin dalam tempoh perkenalan singkat dengan isterinya, Mawar Abdul Karim yang merupakan anak kepada pengasas tudung berjenama Fareeda.

Berpeluang bertemu Kamal pada hari perkahwinan Fizo, hero filem Kembar Siang ini memberitahu, dia berhasrat  mengikut langkah rakan baiknya itu dalam tempoh dua tahun lagi.

“Perkahwinan Fizo seperti ‘panggilan’ untuk saya. Saya sebenarnya tercabar tengok dia kahwin dulu.

“InsyaALLAH, kalau ada rezeki, saya juga akan berkahwin. Saya memang tak nak tunggu lama. Tapi bukanlah dalam masa terdekat ini,” katanya.

Tambah Kamal, sebagai persediaan dia kini bekerja keras demi masa depan yang selesa kepada bakal isterinya kelak.

“Masa dua tahun itu digunakan untuk saya mempersiapkan diri dan melengkapkan apa yang sepatutnya sebelum menjadi seorang suami. Tapi, kalau katakan dalam masa dua tahun ini saya masih tidak berkahwin lagi, saya boleh anggap diri saya ‘loser’ lah.

“Banyak yang saya perlu bersedia. Intan pun tak mendesak dan dia sangat memahami,” ujarnya.

Kecil hati dengan Fizo?

Meskipun gembira dengan perkahwinan rakan baiknya itu, Kamal bagaimanapun mengakui dia sebenarnya turut berkecil hati terhadap Fizo.

Jelas Kamal, manakan tidak, kerana dia dan Fizo sudah berkawan rapat sejak awal penglibatan dalam bidang seni sehinggalah mereka kini sama-sama terkenal tetapi dia tidak mengenali wanita yang berjaya mencuri hati Fizo itu.

“Saya tak pernah kenal Mawar dan saya sangat terkejut bila dapat tahu dia nak kahwin. Masa dia buat kejutan melamar Mawar pun dia tak beritahu saya. Masa mereka nikahlah saya baru jumpa Mawar.

“Sebagai kawan baik, saya pernah berborak mengenai hal kahwin. Tak sangka jodoh dia (Fizo) datang dulu.  Apa pun, saya sangat gembira dan mendoakan  rumah tangganya kekal bahagia. Saya harap Mawar boleh jaga Fizo dengan baik,” kata Kamal yang turut menyertai rombongan bagi pihak pengantin lelaki dengan membawa dulang hantaran bersama enam rakan artis, Iqram Dinzly, Johan As’ari, Fahrin Ahmad, Shaheizy Sam, Karl Shafek, Nazim Othman dan Rosyam Nor.

Dalam perkembangan lain, Kamal kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri untuk slot Aksi di TV3 berjudul Jiwa. Drama arahan Khabir Bhatia itu turut menampilkan Faizal Hussien, Remy Ishak dan Siti Elizad.

Selain itu, Kamal juga berlakon dalam drama bersiri Terukir Di Bintang selain terlibat dalam program realiti terbaru TV3, Liga Lawak Superstar.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.