Kaki tercampak 200 meter

BATU PAHAT – Bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib seorang pemuda yang terlibat kemalangan di Jalan Tanjung Laboh, petang kelmarin.

Simpang Sungai Suloh di mana lokasi kejadian berkenaan berlaku.

Simpang Sungai Suloh di mana lokasi kejadian berkenaan berlaku.

Dia bukan sahaja putus kaki kanannya dalam kemalangan berkenaan, tetapi kakinya turut hilang dan hanya ditemui semula kira-kira dua jam kemudian berdekatan kubur Cina terletak 200 meter dari lokasi kemalangan.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, kaki kanan mangsa, Muhammad Taufiq Ruzman, 23, putus di bahagian pertengahan betis selepas dia merempuh sebuah kereta.

Saksi kejadian, Hamizi Kamran, 39, berkata, kemalangan itu berlaku semasa mangsa dalam perjalanan ke bandar Batu Pahat dari Tanjung Laboh dengan menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z.

Menurutnya, ketika mangsa sampai di simpang Sungai Suloh, dia merempuh sebuah kereta jenis Nissan Latio dan menyebabkan kakinya terputus, sejurus mangsa tercampak di atas jalan.

“Ketika itu, mangsa sempat bangun tanpa separuh kaki kanannya kerana bimbang dirempuh kenderaan lain yang melalui jalan berkenaan.

“Dia kemudiannya meminta orang ramai membantu mencari kaki kanannya yang telah hilang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kemalangan berlaku setelah Muhammad Taufiq dipercayai merempuh kereta yang sedang memasuki simpang.

Katanya, akibat rempuhan itu, kaki kanan mangsa terputus dan dijumpai 200 meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa kini dirawat di Putra Specialist Hospital (PSH) Batu Pahat dan dilaporkan stabil,” katanya.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan orang ramai diminta tampil bagi membantu siasatan.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.