Jironi raih emas pada penampilan keempat Sukan Sea

PELARI jarak sederhana Mohd Jironi Riduan menceriakan skuad olahraga negara apabila merangkul pingat emas dalam acara 800m pada penampilan keempat dalam temasya Sukan SEA ke-27 di Naypyitaw hari ini.

Atlet Olahraga negara, Mohd Jironi Riduan gembira selepas memenangi pingat emas yang dimenanginya dalam acara 800m lelaki sempena Sukan SEA Myanmar 2013 hari ini.

Atlet Olahraga negara, Mohd Jironi Riduan gembira selepas memenangi pingat emas yang dimenanginya dalam acara 800m lelaki sempena Sukan SEA Myanmar 2013 hari ini.

Selepas gagal memburu kilauan emas pada edisi 2007, 2009 dan 2011, Mohd Jironi akhirnya mencapai impian dengan catatan masa 1:50:98s di Stadium Olahraga Wunna Theikdi di sini.

Atlet Filipina Mervin Guarte meraih pingat perak dengan catatan masa 1:51:51s manakala pelari Vietnam, Vai Thai Duong menggondol gangsa dengan catatan 1:51:62s.

“Saya akhirnya bangga selepas meraih pingat emas pada penampilan keempat dalam Sukan SEA untuk saya dan juga negara,” kata Mohd Jironi, seorang guru Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Kota Tinggi, Johor.

Mohd Jironi sebelum ini sekadar meraih dua perak dalam acara 800m dan 1,500m pada edisi 2009 di Laos.

Pada edisi 2011 di Indonesia, pencapaian tempat ketiganya dibatalkan dalam acara 800m kerana beliau dikatakan menolak pelari lain manakala pada 2007 di Thailand, Mohd Jironi gagal mengutip pingat.

Seorang lagi wakil negara, M. Kesavan pula menduduki tangga kelima daripada 10 peserta selepas mencatat masa 1:52:24s.

“Pada permulaan, saya hanya ikut pendahulu sebelum membuat pecutan ke garisan penamat…saya tidak fikir mengenai catatan masa dan sebagainya kerana saya hanya mahu raih emas, itu sahaja,” kata Mohd Jironi.

Beliau bagaimanapun tidak meletakkan sasaran dalam acara 1,500m, Khamis ini, sebaliknya hanya menyasarkan untuk memberikan persembahan yang terbaik.

Dalam pada itu, wakil negara terus mempamerkan aksi hambar selepas gagal meraih kedudukan podium dalam empat acara iaitu 100m lelaki dan wanita, 400m lari berpagar lelaki dan lompat kijang wanita.

Eddie Edward Jr dan Zaidatul Husna Zulkifli menduduki tempat ketujuh dan kelima dalam 100m lelaki dan wanita selepas masing-masing mencatat masa 10.75s dan 12.13s.

Nasib yang sama turut dialami dua atlet negara dalam acara 400m lari berpagar lelaki iaitu Mohamed Baihaqi Razlan meraih tempat keempat manakala Muhammad Firdaus Musa gagal menamatkan perlumbaan kerana mengalami kecederaan pada halangan ketiga.

Mohamed Baihaqi sekadar mencatat masa 52.96s pada acara yang dimenangi wakil Filipina, Eric Shauwn Cray (51.29s), perak diraih Andrian dari Indonesia dengan catatan 51.74s manakala Xuan Cuong Dao berpuas hati dengan gangsa dengan catatan 51.79s.

Noor Amira Mohamad Nafiah pula ditimpa malang apabila penyertaannya dibatalkan selepas tiga lompatan dalam acara lompat kijang wanita. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.