Jawatan Konstabel PDRM dapat sambutan Masyarakat Cina

Pelatih-Pulapol-Segamat-565x565KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 3,314 permohonan untuk jawatan konstabel daripada masyarakat Cina sejak dua bulan lepas, kata Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan) PDRM Bukit Aman, ACP Saiful Azly Kamaruddin.

Beliau berkata jumlah permohonan itu adalah paling tinggi pernah dicatat dalam sejarah PDRM.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,094 merupakan permohonan dari golongan lelaki dan 1,220 permohonan kaum perempuan,” katanya dalam sesi wawancara Perkembangan Eksesais Pengambilan Khas Jawatan Konstabel dalam Kalangan Kaum Cina dalam Kerjaya PDRM 2014 di sini hari Khamis.

Beliau berkata calon akan disenarai pendek bermula 25 Mei ini sehingga bulan Jun dan mereka yang dipilih perlu menghadiri sesi ujian fizikal dan temuduga.

Bilangan kaum Cina yang berkhidmat dalam PDRM ketika ini hanya 1.87 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja PDRM. Saiful Azly berkata kelonggaran syarat bagi kaum Cina adalah hanya perlu lulus mata pelajaran Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lulus keputusan V/6/9 dalam ujian penglihatan mata atau dengan menggunakan cermin mata atau kanta lekap.

“Walaupun pengambilan kali ini hanya untuk jawatan konstabel, namun pemohon yang berkelayakan ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan diploma juga akan dipanggil untuk sesi pengambilan jawatan mengikut kelayakan masing-masing pada masa akan datang,” katanya.

Mengenai antara faktor kurang penglibatan kaum Cina dalam PDRM ialah gaji yang dianggap masih rendah, kurang pengetahuan tentang pasukan keselamatan serta menganggap ujian fizikal selama enam bulan sebagai satu penderaan.

“Setelah PDRM mengadakan program taklimat, barulah ibu bapa kaum Cina menggalakkan anak-anak mereka mengisi borang dan menyertai pasukan,” katanya.

Beliau berkata walaupun tarikh permohonan untuk jawatan konstabel telah ditutup pada 30 April lalu, namum mereka (pemohon kaum Cina) yang masih ingin mencuba nasib boleh menghantar borang ke balai polis berdekatan sebelum Isnin depan.

“Calon yang tidak dipanggil untuk temuduga diminta supaya menunggu sesi pengambilan baharu,” katanya sambil mengucap terima kasih kepada ketua polis daerah dan badan bukan kerajaan Cina yang mendorong kaum Cina menyertai PDRM.

Saiful Azly juga berkata hanya sembilan calon kaum Cina iaitu enam lelaki dan tiga wanita yang layak dalam sesi pengambilan jawatan konstabel tahun lepas.

“Berdasarkan statistik sehingga 31 Dis tahun lepas, keanggotaan didominasi oleh kaum Melayu dengan sejumlah 90,156 orang, India (3,659), Cina (1,974) dan selebihnya lain-lain kaum,” katanya.

Borang permohonan boleh dimuat turun dari laman web PDRM di www.rmp.gov.my dan borang yang telah lengkap diisi perlu dihantar ke balai polis berdekatan atau ke Unit Perjawatan Pengambilan di Bukit Aman.

– BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.