Isu tol: Kerajaan macam tak peka kesusahan rakyat

image (13)

SHAH ALAM – Cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar tol yang tersebar luas di media sosial baru-baru ini disifatkan sebagai tidak peka dengan kesusahan rakyat selepas berdepan dengan kesan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), April lalu.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohamad Fuad Othman berkata, jika kenaikan itu berlaku, ia akan menjejaskan lagi kehidupan rakyat yang kini terpaksa berdepan kenaikan harga barang.

“Saya lihat bahawa kerajaan BN ini perlu buat kajian sebelum sesuatu perkara itu dilaksanakan. Gelisah dan rungutan rakyat kepada GST itu belum lagi reda dan kesan sebenar GST itu sudah mula nampak sekarang ini, tapi pada masa yang sama, mereka akan naikkan tol.

“Di mana selalunya tol naik, harga barang pun naik. Jadi, kenaikan barang itu akan berganda. GST sudah kumpul berbilion-bilion ringgit, tapi apa perlu nak naikkan lagi kadar tol?

“Kerajaan seolah-olah tidak peka dengan masalah rakyat dan kerajaan rasa jika dilaksanakan juga kenaikan ini, ia tidak memberi kesan nanti. Mungkin kerajaan ada perkiraan politiknya…jika naikkan sekarang, mungkin boleh ‘cover’ perasaan rakyat sebelum PRU akan datang.

“Ada dua, tiga tahun kerajaan nak ‘adjust’ tapi kerajaan perlu sedar bahawa tol itu orang akan guna hari-hari terutama buat rakyat yang duduk di Lembah Klang,” katanya kepada Sinar Online.

Menurutnya, tindakan demi tindakan yang dilakukan kerajaan kini menghakis sedikit demi sedikit kepercayaan rakyat terhadap pemerintah.

“Itu pun orang bocorkan (cadangan kenaikan). Kalau kita lihat, banyak kes di mana kerajaan nak buat sesuatu dibocorkan. Sebab apa? Sebab orang dalaman itu sendiri sudah tidak larat nak bersekongkol. Isu sebelum ini, 1MDB tidak beri kesan terus kepada rakyat tapi kenaikan tol ini akan membuatkan rakyat terkesan secara langsung.

“Apa kerajaan cakap, rakyat tak percaya dah. Makin lama makin menghakis kepercayaan rakyat. Jangan selepas ini, dia (kerajaan) marah apabila rakyat tidak menyokong kerana kerajaan sendiri yang menghakis kepercayaan rakyat itu,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata sekarang bukanlah tempoh untuk menaikkan apa-apa sahaja kadar susulan banyak lagi isu yang masih belum selesai dalam negara ini.

“Bukan masanya untuk menaikkan apa-apa sahaja sekarang ini termasuk tol memandangkan (kerajaan) masih lagi berusaha meyakinkan rakyat dalam isu yang lain. Jadi, belum selesai satu isu, saya rasa elok kerajaan berhati-hati.

“Sesuatu yang boleh beri kesan kepada pengguna, wajar dipertimbangkan dengan teliti supaya ia tidak melahirkan kebimbangan dalam kalangan pengguna sekali gus boleh mempengaruhi persepsi terhadap kerajaan sendiri.

“Dalam keadaan sekarang, banyak perkara yang sedang berlaku, kerajaan perlu pula beri penerangan pada isu ini (tol) pula. Ada pula nanti yang beranggapan, seolah-olah nak keluar dari satu isu itu, pergi ke satu isu yang lain.

“Saya percaya, jika satu perkara itu boleh beri kesan kepada pengguna maka ia boleh beri kesan dalam kepercayaan terhadap parti politik. Jadi, wajar diperhalusi impak kepada pengguna sebelum dilaksanakan sesuatu perubahan atau pembaharuan,” katanya.

Bagi Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek pula menyifatkan tindakan penyebar maklumat sulit itu telah melanggar undang-undang hingga boleh menyebabkan huru-hara dalam negara.

“Pertama sekali kena jaga kerahsiaan. Benda-benda yang penting di peringkat menteri biasanya perbincangan ini adalah sulit dan rahsia. Jadi, apabila hal ini diketahui umum, ada yang dedahkannya dan ia adalah satu kesalahan kerana kesannya amat besar kepada negara.

“Ia baru di peringkat perbincangan sebelum dibahaskan. Ia tidak boleh diberitahu kepada orang ramai kerana akan menimbulkan huru-hara. Orang akan terperanjat…tak tentu arah sedangkan perkara itu belum diputuskan lagi. Maka akan huru-haralah negara kita. Sedangkan cadangan tol itu belum dibincangkan pun dalam Kabinet.

“Apabila Kabinet dah lulus barulah Jawatankuasa Teknikal bawa ke Parlimen. Jauh lagi perjalanannya, bukan boleh pandai-pandai naikkan harga. Menteri berkenaan perlu bentang dan kena jawab dalam Parlimen. Orang akan bantai dia, kenapa nak naik harga,” katanya.

Menurutnya, rakyat sekarang sudah bijak untuk menuntut kembali janji-janji yang ditabur kerajaan sebelum ini.

“Kita kena lihat kembali apa janji yang telah dibuat…ketetapan yang telah dibuat oleh kerajaan. Apabila menteri kata tidak ada kenaikan sebelum ini…rakyat bukan bodoh, ahli Parlimen lain pun ramai dan pembangkang juga sensitif.

“Menteri sebelum ini kata, kerajaan terpaksa tanggung jika berlaku kenaikan, jadi, jika berlaku kenaikan kadar tol, kerajaan terpaksa tanggunglah,” katanya.

Sebuah akhbar melaporkan Kementerian Kerja Raya akan membawa cadangan kenaikan tol untuk kelulusan Kabinet hari ini, melibatkan beberapa tol di Lembah Klang termasuk Lebuhraya Kulim-Butterworth dan Lebuhraya Pantai Timur 1.

Laporan itu menyebut, kenaikan dijangka antara 20 sen dan RM1 yang berkuatkuasa Ogos ini, jika mendapat kelulusan Kabinet.

“Dilaporkan bahawa kerajaan dijangka membayar sebanyak RM558.69 juta dalam bentuk pampasan kepada syarikat konsesi jika kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tol di 20 lebuh raya tahun ini,” antara petikan laporan tersebut.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.