Isu MB : Abdul Khalid ada peluang

SHAH ALAM – Exco Selangor penggal lalu mengharapkan Pengerusi Pakatan Rakyat (PR) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diberikan peluang untuk terus menerajui Selangor.

Ronnie Liu

Ronnie Liu

Bekas Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, kemenangan PR di Selangor membuktikan rakyat memerlukan pentadbiran telus dan bertanggungjawab di bawah Abdul Khalid.

Menurutnya, Abdul Khalid membuktikan keupayaan dan kewibawaan penggal lalu malah ia menunjukkan Abdul Khalid akan meneruskan kecemerlangan pada penggal akan datang.

“Saya ingin menegaskan PR mendapat mandat lebih besar berbanding 2008. Ini menunjukkan prestasi dan pimpinan Tan Sri dan juga perkhidmatan diberikan Exco, Adun dan ahli parlimen diterima baik rakyat.

“Saya sokong Tan Sri (Abdul Khalid) yang jujur dan ikhlas terus memimpin negeri Selangor,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, bekas Exco Pelaburan, Teresa Kok pula enggan campur tangan dalam isu pelantikan Menteri Besar Selangor yang membabitkan hal dalaman PKR kerana setiap parti harus mempunyai pandangan dan pendiriannya dalam isu tersebut.

“Kerajaan PR Selangor bukannya kerajaan sempurna dan semestinya terdapat kesilapan yang dipertikaikan oleh rakyat dalam pentadbiran lepas.

“Saya berharap kerajaan baru PR di Selangor meneliti kesemua rungutan, kritikan semua pihak dan membetulkannya dalam pentadbiran baru,” katanya.

Bekas Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi juga menghormati rakan parti dalam PR itu dan menolak untuk membuat sebarang komen.

Bagaimanapun katanya, bagi Pas, perkara tersebut dibincangkan di peringkat tertinggi parti peringkat negeri atas nasihat Pas Pusat dan kemudiannya dibawa kepada perbincangan di peringkat PR.

“Saya lihat Tan Sri (Abdul Khalid) banyak buat reformasi terutama pendekatan dalam pentadbiran penjawat awam.

Bukan mudah hendak membentuk sesuatu yang telah jadi amalan biasa sebelum ini. Insya-ALLAH akan ada perubahan dalam penggal ke-2 ini,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.