Isteri gigih cari rezeki

image (8)

JOHOR BAHRU – Meskipun usia semakin lanjut, seorang warga emas masih gigih mencari rezeki dengan bekerja sebagai tukang cuci untuk kelangsungan hidup.

Zaliha Kemat, 61, dari Taman Cempaka, Tampoi, di sini, mengambil upah membersihkan kawasan flat, dua jam sehari dengan bayaran RM250 setiap bulan bagi menyara perbelanjaan keluarga.

Dia langsung tidak mengambil kira keadaan kesihatannya yang turut menghidap kencing manis, darah tinggi dan perlu banyak berehat demi memastikan kebajikan bapanya, Kemat Ahmad, 89, serta suaminya, Esa Ali, 75, terjamin.

“Perbelanjaan kami bukan besar kerana saya dan suami makan ala kadar saja, manakala untuk bapa, saya hanya kisar nasi dan sayur supaya dia mudah menelan.

“Kerana berjimat, saya masih mampu bayar bil elektrik dan air, selain membeli lampin pakai buang serta susu untuk bapa.

“Hanya sesekali kami kekurangan sumber kewangan untuk beli ikan atau sayur, namun kami bersyukur kerana ketika saat sukar itu, ada sahaja individu termasuk kenalan yang berkunjung ke rumah untuk menyampaikan sedikit barangan dapur bagi menampung keperluan semasa,” katanya.

Ketika keluar bekerja, Zaliha minta suaminya pantau keadaan bapanya, tetapi tetap menasihatinya supaya tidak melakukan kerja berat memandangkan dia turut menghidap strok sejak lebih empat tahun lalu.

“Saya sangat bersyukur kerana keadaan suami kini beransur pulih dan mampu uruskan diri sendiri. Selain mencari rezeki, rutin harian saya adalah membersihkan bapa, menukar lampin pakai buang, memberi ubat dan susu.

“Syukur juga kerana masih mampu menguruskannya dan berdoa agar bapa dipanjangkan usia. Selagi terdaya, saya mahu menjaganya kerana saya tidak sanggup berpisah dengannya,” katanya.

Zaliha berkata, dia tidak sanggup menyusahkan tiga anaknya kerana mereka juga bukannya orang senang dan perlu menanggung keluarga masing-masing selepas berumah tangga.

“Mereka ada bantu setakat yang mampu dan kerap menghubungi kami bertanya khabar. Buat masa ini, suami menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Kami tak memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Agama Islam Johor (Maij) kerana tidak mengetahui saluran,” katanya.

Terdahulu, keluarga terbabit menerima kunjungan daripada Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam dan Pengerusi Persatuan Prihatin Kempas, Salim Daud.

Mas Imran berkata, pihaknya memberikan sumbangan barangan bernilai RM1,000 bagi meringankan beban tiga warga emas berkenaan. – SinarHarian

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.