Ihsan & Son sasar tingkat jualan lima peratus tahun ini

SYARIKAT pengeluar produk rempah ratus Bumiputera, Ihsan & Son Food Industries Sdn Bhd (Ihsan & Son) berhasrat menerokai pasaran luar negara seperti China menerusi jenama Cap Daun Kari, dan rancangan pengembangan itu dijangka akan dimulakan tahun ini.

Nor Ihsan menunjukkan sebahagian rempah ratus keluaran Ihsan & Son.

Nor Ihsan menunjukkan sebahagian rempah ratus keluaran Ihsan & Son.

Pengasas produk itu, Nor Ihsan Abdullah, 60, berkata, dalam masa sama syarikatnya kini turut menumpukan kepada pasaran dalam negara sebelum mula melangkah ke pasaran lebih besar.

“Produk kami kini sudah berada di Perak, Kedah dan Kelantan melalui pengedar sah.

“Bagi meningkatkan pasaran dalam negara, kami akan memperluaskan jaringan ejen dan pengedar produk di seluruh negara dan kami juga mengalu-alukan penyertaan individu yang berminat (menjadi ejen),” katanya dalam temu ramah bersama Sinar Harian.

Menurutnya, kapasiti pengeluaran syarikat itu pada masa ini adalah 300 kilogram rempah ratus sehari dengan pendapatan RM50,000 sebulan. Nor Ihsan berkata, syarikat itu juga menyasarkan peningkatan jualan lima peratus berbanding RM500,000 pada 2012.

“Bagi mencapai sasaran jualan itu, syarikat kami telah pun membuka kilang baru di Taiping, Perak dengan modal pelaburan RM490,000.

“Selain itu, rangkaian produk kami juga boleh didapati di pasar raya besar Tesco di seluruh negara dan pasar raya Mydin di seluruh Perak,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Nor Ihsan berkata, jenama Cap Daun Kari keluaran syarikatnya akan memperkenalkan empat produk baru rempah ratus segera menjelang pertengahan tahun ini.

Perniagaan Ihsan & Son yang berpusat di Taiping itu dimulakan sejak 2007 dengan modal permulaan RM50,000 dan kini syarikat itu telah pun memasarkan lebih 20 jenis rempah ratus.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.