Ibu tunggal dirompak, dikurung dalam stor

Azmizam menunjukkan pintu biliknya. Gambar kecil: Zalilah

Azmizam menunjukkan pintu biliknya. Gambar kecil: Zalilah

SEGAMAT – Sebuah keluarga termasuk seorang ibu tunggal di Kampung Paya Lebar, Batu Anam kerugian RM600 apabila menjadi mangsa samun dua lelaki di rumahnya.

Zalilah Jamnan, 35, berkata, ketika kejadian, dia terkejut dua lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti di belakang rumahnya sebelum meluru masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

“Ketika itu, saya sedang memasak di dapur manakala emak mendodoikan anak bongsu saya. Pada awalnya, saya ingat abang saya yang pulang.

“Emak terus menjerit sebelum salah seorang daripada mereka mengarahkan diam. Seorang lagi ke dapur lalu mencekak belakang leher saya dan kami dikumpulkan di ruang tamu rumah belakang,” katanya.

Katanya, salah seorang suspek memakai penutup muka dan bersenjatakan sebilah pisau, manakala seorang lagi memakai topi keledar dan bercermin mata gelap.

Ketika kejadian, abang ipar mangsa, Azmizam Mohd Noor yang berehat di bilik tidak menyangka bunyi bising di ruang tamu disebabkan kehadiran suspek.

“Kedua-duanya tersebut tidak menyangka abang ipar saya berada di rumah ketika itu dan abang ipar saya yang perasan kehadiran suspek terus mengunci pintu bilik daripada dalam.

“Kedua-dua suspek mengarahkan abang ipar saya buka pintu sebelum mereka menendang pintu,” katanya.

Menurutnya, setelah dikumpulkan di ruang tamu, salah seorang suspek memaksa mereka menyerahkan kesemua barangan berharga.

Sementara itu, seorang lagi suspek menggeledah rumah dan mengambil dua tabung duit syiling, wang tunai dan sebuah telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM600.

“Bukan setakat itu sahaja, mereka mengurung saya dan abang ipar dalam stor sebelum melarikan diri,” katanya.

Zalilah kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Batu Anam pada petang hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.