Husam terguris tak dimaklum

KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa tidak rasa dukacita walaupun tidak terpilih sebagai exco kerajaan negeri Kelantan seperti yang diumumkan kelmarin.

Husam ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Husam ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Beliau yang juga Adun Salor berkata, sebagai pejuang Islam beliau berjuang bukan kerana jawatan.

“Namun saya sedikit terguris kerana tidak dimaklumkan terlebih dahulu oleh sahabat-sahabat mengenai perkara ini yang boleh menimbulkan masalah kepada penyokong Pas di seluruh negara.

“Saya secara peribadi tidak mempunyai masalah tetapi biarlah penyokong menikmati kemenangan Pas di Kelantan terlebih dulu dan biarlah ia dilakukan secara tata susila.

“Malah tidak ada ada mesyuarat dipanggil di peringkat Perhubungan Pas Negeri untuk memutuskan pertukaran Menteri Besar dan pembentukan kerajaan baru,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kota, di sini, semalam.

Menurutnya, sedangkan mesyuarat boleh membantu memperkukuhkan keputusan dan membulatkan pendirian apatah lagi pelantikan Menteri Besar sebelum ini diadakan mesyuarat terlebih dahulu.

Beliau bagaimanapun berkata, ketelusan dan sokongan secara bermesyuarat atas perkembangan penting tersebut membantu Pas terus utuh di bumi Kelantan.

“Pihak yang sudah terlantik mempunyai kewajaran dan kelayakan mereka tersendiri. Inilah peluang mereka untuk membuktikan keikhlasan dalam menerajui perjuangan Islam yang syumul di era moden sekarang.

“Namun sebagai seorang aktivis yang masih kekal dengan idealisme ‘Islam adalah Terbaik dan Syumul’, saya selaku rakyat biasa Kelantan memohon tidak ada amalan kronisme diamalkan di semua peringkat selain amalan pemberian kawasan getah klon dan multi spesies dihentikan,” katanya.

Beliau berkata, bukan itu sahaja pemberian kawasan perlombongan seeloknya dilakukan secara tender terbuka dan kedudukan amalan perladangan serta perlombongan YIK dan Yakion dikaji semula.

“Saya juga berharap Air Kelantan Sdn Bhd dikaji semula dan perjalanan Ladang Rakyat khususnya mengenai pertindihan dengan penerokaan rakyat dikaji semula.

“Jangan rombak atau hentikan susunan yang telah diatur bagi pembinaan Lebuhraya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai dan pembinaan Bandar Baru Sukan Bukit Merbau, Selising,” katanya.

Beliau juga berharap tuntutan royalti tidak dikendurkan malah terus diperjuangkan demi hak rakyat negeri ini.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.