Hijrah Diana Amir: Jadi tauladan dan saham akhirat

Diana Amir

Diana Amir

SELEPAS beberapa kali mengalami mimpi hari kiamat, gadis manis ini akhirnya melakukan perubahan mengejut apabila mula memakai hijab sepenuhnya sejak tiga tahun lalu.

Mengakui bukan mudah untuk membuat perubahan besar seperti itu, apatah lagi suatu ketika dulu, gadis lincah ini pernah dilabelkan sebagai pelakon seksi, namun itu semua bukanlah satu alasan
buat Diana Amir.

Malah, ketika itu, pemilik nama penuh Nurdiyana Amir Hashim ini juga mengakui yang dirinya masih terlalu cetek dalam ilmu agama. “Saya mengambil keputusan ini setelah beberapa kali diberi petanda dan mimpi buruk mengenai hari kiamat.

“Ia mengingatkan saya mengenai kematian yang semakin hampir dan perkara itu sering membelenggu hidup saya,” katanya pada Zass. Mengambil masa selama empat bulan, Diana mengenakan tudung secara berperingkat bagi membiasakan dirinya dengan keadaan baharu.

Meskipun pada ketika itu, ada peminat yang menganggap dirinya hanyalah sekadar melakukan gimik demi memenuhi tuntutan kerjayanya sebagai pelakon. Sejak mengambil keputusan untuk berhijrah dan tampil dengan bertudung litup serta menutup aurat, Diana Amir juga mengakui tawaran berlakon semakin berkurangan.

Meskipun begitu, dia memandang positif mengenai perkara itu dan menganggapnya sebagai satu ujian yang diterimanya daripada ALLAH SWT. Malah, katanya, walaupun tidak mempunyai tawaran berlakon dia menggunakan masa terluang yang ada dengan mendalami ilmu agama.

“Jika ada tawaran yang sesuai, InsyaALLAH, saya akan menerima dengan hati yang terbuka,” kata pelakon filem Aku Masih Dara ini. Walaupun kurang tawaran lakonan, Diana kini bergelar penulis apabila bukunya, Titisan Mahabbah sudah pun berada di pasaran.

Kata Diana, Titisan Mahabbah adalah buku inspirasinya yang ditulis bersama-sama Ustaz Rusydi Ramli Al-Jauhari. “Terdapat 19 kisah tauladan di dalamnya termasuklah kisah penghijrahan saya.
“Kisah-kisah ini berjaya membuka mata saya untuk menjadi Muslim yang lebih baik.

“Saya berharap agar buku ini menjadi tauladan dan inspirasi kepada mereka yang membacanya. “Seandainya buku saya ini memberi kebaikan, saya harap ia boleh menjadi saham akhirat untuk saya,” katanya yang menulis dalam tempoh sebulan.

Jejak Islam di Nusantara

Tidak cukup dengan itu, Diana juga mengakui dia kini semakin sibuk menjadi pengacara. Kini, saya sibuk mengendalikan program bual bicara SIS bagi musim kedua untuk 26 episod di TV9,” katanya.

Malah baru-baru ini, Diana menerima tawaran daripada TV Al-Hijrah untuk menjadi pengacara bagi rancangan dokumentari 13 episod, Titian Ombak yang dijadualkan akan bersiaran pada Ramadan nanti.
“Dokumentari ini berkisarkan mengenai menjejaki kedatangan Islam di Nusantara. Penggambarannya mengambil tempoh sebulan.

“Oleh itu, bagi menjayakannya, saya perlu turun sendiri ke lapangan dan membuat penyelidikan. Disebabkan itu saya perlu berulang alik lebih sebulan di antara Malaysia dan Indonesia.

“Saya menganggap mengacarakan program ini adalah satu benda baharu bagi saya kerana ia memberi pengalaman baharu buat saya,” katanya yang mengimpikan ramai anak hasil perkahwinannya dengan Mohd Habibbullah A Rahman, Oktober lalu.

Duta BlinQ Beauty Drink

Selain itu, rezeki Diana juga semakin murah apabila dia ditawarkan untuk menjadi duta kepada produk kecantikan dan kesihatan, BlinQ Beauty Drink sejak tahun lalu. “Sebelum menerima tawaran menjadi duta, saya telah mencuba terlebih dahulu akan produk ini.

“Saya sangat gembira kerana ia sangat bagus dan berkesan dalam masa yang singkat. Secara peribadinya, produk ini sangat bagus, apatah lagi apabila ia adalah produk yang mengamalkan pemakanan sunnah seperti habbatus sauda, kurma, madu, kolagen dan ekstrak stevia,” katanya.

Pada masa sama, graduan lepasan Universiti Sains Malaysia (USM) ini juga sering memberi ceramah tentang keterampilan wanita Muslimah. Dalam pada itu, Diana turut mempunyai beberapa perniagaan termasuklah label pakaiannya sendiri DA’e (Diana Amir Exclusive).

Dalam menguruskan perniagaannya itu, Diana ternyata tidak keseorangan sebaliknya dia dibantu oleh suaminya. Bukan itu saja, Diana juga telah melancarkan 12 koleksi tudungnya hasil kolaborasinya dengan pereka fesyen terkenal, Melinda Looi di Festival Fesyen Islamik (IFF), tahun lalu.

Jelasnya, melalui hasil kerjasama itu, Diana bertindak sebagai pereka jemputan bagi koleksi selendang sempena Lebaran lalu, manakala Melinda Looi pula menghasilkan koleksi Baju Raya Eksklusif.
“Koleksi tudung ini dinamakan x emel.  Saya pilih nama itu kerana ia membawa maksud aman dalam bahasa Arab.

“Setiap individu yang membeli koleksi tudung tersebut, mereka juga sebenarnya membuat kebajikan. Ini kerana sebahagian hasil jualan akan disalurkan kepada rumah kebajikan Keluarga Besar Norlina Alawi Bhd (KBNA) yang melindungi anak-anak yatim mangsa HIV dan Aids,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.