Hanya ada 10 peratus SB dalam PDRM

JASIN – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menyangkal ada peningkatan mendadak dalam bilangan anggota Cawangan Khas (SB) seperti yang didakwa oleh sesetengah  pihak.

Khalid Abu Bakar

Khalid Abu Bakar

Sebaliknya kata beliau anggota cawangan berkenaan hanya kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan 115,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bilangan itu seiring dengan keperluan semasa dalam menjaga keselamatan negara.

“Penetapan (10 peratus) itu kita buat ada sebabnya dan paling utama jamin keselamatan negara. PDRM lebih tahu tentang ancaman kepada keselamatan negara, jadi biar kami yang tentukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Semalam, semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat, Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim daripada DAP, mempertikaikan bilangan anggota SB yang dikatakannya meningkat secara mendadak sejak 2012 kepada 8,200 berbanding hanya kira-kira 5,000 sebelum itu.

Sim juga membandingkan keanggotaan Cawangan Khas sekarang dengan era darurat pada 1954 yang katanya hanya mempunyai 459 anggota.

Mengulas lanjut, Khalid berkata Cawangan Khas turut distruktur semula bagi memperkukuh bahagian tertentu namun penstrukturan semula itu tidak melibatkan pertambahan anggota.

“Namun kita ada memohon pertambahan bilangan anggota secara keseluruhan bagi mengurus pertambahan infrastruktur dan aset kita miliki demi memberikan yang terbaik kepada rakyat, namun ini tidak melibatkan Cawangan Khas,” katanya.

Mengulas perkara lain, Khalid berkata PDRM mempergiat pemeriksaan terhadap pengawal keselamatan bersenjata di seluruh negara bagi memastikan mereka mempunyai lesen untuk membawa dan mengguna senjata api.

“Mereka perlu mendapatkan lesen ‘carry and use’ daripada PDRM untuk menggunakan senjata api tetapi penemuan kita setakat ini ada syarikat yang terus beri senjata api kepada pengawal keselamatan tanpa mematuhi peraturan,” katanya.

Terdahulu Khalid menghadiri perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin yang dilakukan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Bangunan bernilai RM68.5 juta itu mula beroperasi pada 5 Mac tahun lepas. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.