Hadi nafi laporan media Mesir

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menafikan sekerasnya laporan media perdana Mesir pada Ahad lalu yang mendakwa beliau dilantik menjadi setiausaha agung untuk menerajui gerakan Islam di Mesir iaitu Ikhwanul Muslimin Antarabangsa.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Abdul Hadi juga menyifatkan dakwaan itu sebagai satu pembohongan dan amat mendukacitakan apabila berita palsu itu bukan sahaja menjejaskan reputasinya bahkan menjatuhkan maruah Pas di persada politik tempatan.

“Saya menafikan berita itu, ianya bohong dan sangat mendukacitakan, tidak munasabah saya duduk di negara Timur Tengah dan saya tidak terlibat dalam pergolakan di Mesir.

“Walapun kita sokong demokrasi di Mesir dan beri hak seadil-adilnya, biar rakyat Mesir tentukan siapa kerajaan yang sebenar, kita tidak perlu campur namun kita mendokong hak itu dipulihkan segera,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut laporan di muka hadapan akhbar Al-Wathan dari Mesir dengan tajuk “Tanzim Antarabangsa Ikhwan Mesir Menarik Diri dari Kepimpinan Ikhwan: Memilih Orang Malaysia sebagai Setiausaha Agung” pada Ahad lalu telah mengundang pelbagai kontroversi terhadap pemimpin nombor satu itu dalam Pas.

Dakwa Hadi lagi, berita itu timbul dipercayai selepas kepimpinan Pas lantang menyuarakan hak demokrasi yang dicabul kerajaan tentera Mesir sekali gus mengheret beliau dan Pas seolah-olah terlibat dalam gerakan Islam Ikhwan Muslimin di negara itu.

Beliau juga tidak menafikan laporan itu sengaja dicipta oleh negara Barat untuk menjatuhkan maruah umat Islam dengan menyemarakkan simptom “Islamphobia” di kalangan orang bukan Islam.

Tambah beliau pihak sedang meneliti langkah-langkah yang sesuai untuk diambil tindakan undang-undang terhadap akhbar perdana tersebut.

“Saya serahkan kepada barisan peguam Pas untuk ambil tindakan mahkamah, malah tindakan sama pernah diambil terhadap media di Britain sebelum ini dan kita menang kes itu,” katanya lagi.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.