GST: Rakyat boleh guna kuasa pengguna – Najib

najib-razak1-may7_540_360_100

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan rakyat Malaysia menggunakan sepenuhnya kuasa mereka sebagai pengguna dengan melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada peniaga sengaja mengambil kesempatan di sebalik pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Najib juga berkata, rakyat boleh menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna dengan tidak membeli barangan yang dijual oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, beliau percaya jika rakyat menggunakan sepenuhnya kuasa pengguna yang ada di tangan mereka, lambat laun peniaga yang tamak tidak akan berani bertindak menaikkan harga dengan sesuka hati kerana 4,000 barangan keperluan harian dikecualikan daripada dikenakan GST.

“Kalau pihak itu tak sepatutnya mengenakan GST, tolong laporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Di sini letaknya kuasa pengguna, kita mesti tahu bahawa kita ada kuasa. Kuasa pertama kita boleh pilih mana-mana kedai yang kita nak beli barangan atau kedai-kedai makan apa pun, kita boleh pilih.

“Jadi mana kedai yang tidak bertanggungjawab, sengaja menaikkan harga lepas itu menyalahkan pihak kerajaan, kita jangan pergi ke kedai itu sebab ada banyak kedai lain. Kedai alternatif lain banyak,” katanya ketika ditemu bual dalam program Edisi Khas Soal Jawab TV3, malam tadi.

Menurutnya, jika ada pihak berkata sekarang bukan masa sesuai untuk kerajaan melaksanakan GST, dakwaan tersebut tidak berasas kerana tiada suatu masa yang benar-benar sesuai untuk pelaksanaan cukai tersebut.

“Sebenarnya tak ada masa yang sesuai…yang dikatakan sesuai nak perkenalkan GST.

“Tetapi kalau kita lihat pada keseluruhannya antara faktor yang boleh dikatakan menyebelahi langkah kerajaan untuk memperkenalkan GST…harga minyak dah jatuh.

“Bila harga minyak jatuh, maknanya harga petrol dan diesel lebih rendah daripada masa-masa yang lalu. Satu, rakyat mendapat faedah daripada penurunan harga minyak dunia,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah buat persediaan sejak tahun 1980-an lagi untuk melaksanakan GST dan kini masa yang sesuai.

“Dari segi makronya sesuai, masanya sebab kerajaan perlu kepada kewangan tambahan. Sebab hasil dividen daripada Petronas akan berkurangan kerana harga minyak sudah jatuh,” jelas beliau.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.