GST: Kenaikan harga makanan ‘aduan paling popular’

image (47)

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata berdasarkan statistik (E-Aduan) 11 dan 12 April menunjukan ada penurunan aduan yang diterima pihaknya.

Jelasnya, perkiraan itu berdasarkan penurunan jumlah  statistik pada tempoh dua hari tersebut.

“Pada  11 April  pihak kami  menerima 98 aduan, manakala pada 12 April pihak kami menerima 69 aduan.

“Jadi dapat dilihat adanya penurunan sebanyak 30 peratus aduan berbanding hari sebelumnya, iaitu secara kumulatifnya sebanyak 4,023,” katanya ketika sidang media mengenai penerangan GST di Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini.

Jelasnya, berdasarkan tempoh dua hari itu aduan berkaitan pembelian kad tambah nilai telefon bimbit yang dikenakan GST secara relatifnya telah menurun kepada 31 peratus (1,259) aduan.

Manakala aduan mengenai kenaikan harga barang menunjukkan peningkatan berbanding semalam (12 April ) 44 peratus (1,754) aduan.

“Antara barang yang popular diadu adalah kenaikan harga makanan dan minuman di restoran, iaitu sebanyak 19 peratus, susu tepung bayi sebanyak lima peratus dan lampin pakai buang bayi sebanyak tiga peratus.

“Manakala berkaitan resit tiada nombor ID GST tetapi mengenakan caj GST pula secara relatifnya meningkat kepada 13 peratus (520) aduan.

“Sementara aduan berkaitan caj perkhidmatan 10 peratus pula secara relatifnya meningkat kepada 336 aduan (lapan peratus) ,” katanya.

Sementara mengulas mengenai aduan yang diterima pihaknya melalui media sosial dalam tempoh dua hari itu, Alias berkata, di Facebook terdapat peningkatan sementara di Twitter pula ada  penurunan.

“Untuk aduan di Facebook pada 11 April adalah sebanyak 79 aduan  manakala pada 12 April sebanyak 95 aduan.

“Sementara aduan melalui Twitter pula pada 11 April ialah sebanyak 67 aduan manakala pada 12 April sebanyak 64 aduan.

“Manakala aduan daripada media sosial secara kumulatifnya adalah sebanyak 5,372 aduan setelah 12 hari GST dilaksanakan,” katanya.

Mengulas lagi, Alias berkata bagi tindakan lanjut setelah aduan ini diterima pihaknya akan menghantar pegawainya untuk memberi notis amaran kepada pihak yang terlibat.

“Kita akan hantar notis kepada mereka, dan memberi masa tiga hari untuk mengemukakan alasan, kalau gagal kertas siasatan akan dibuka,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.