Grenad Ditemui Dalam Tandas Diletupkan

FW392468_PG05_130415_SHELL_

BUKIT MERTAJAM – Polis meletupkan satu bungkusan hitam dipercayai mengandungi grenad yang ditemukan dalam tandas lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim di sini, tengah malam tadi.

Bom itu diletupkan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat pada jam 12.05 tengah malam, kira-kira 10 meter di luar tandas stesen minyak itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah , Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata bom tangan itu diletupkan selepas pemeriksaan bomba mendapati kesan pemewapan gas yang terhasil daripada bahan api hanya lima peratus.

“Polis mengambil kira keadaan persekitaran stesen minyak itu sebelum meletupkan bom berkenaan,” katanya di tempat kejadian di sini.

Bungkusan hitam dipercayai berisi grenad itu ditemukan oleh orang awam yang menggunakan tandas berkenaan kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Berikutan penemuan itu, polis menutup kawasan berkenaan dan memindahkan beberapa penduduk berhampiran stesen minyak itu sejak pukul 7 petang bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Beberapa jentera bomba dan pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat turut berada di kawasan berkenaan.

Rusli berkata operasi stesen minyak berkenaan ditutup sebaik sahaja bahan letupan itu ditemukan.

Beliau berkata polis akan meneliti CCTV yang terdapat di stesen minyak berkenaan bagi mengesan pihak yang meletakkan bom tangan tersebut di tandas itu.

“Motif kejadian tidak diketahui dan polis akan memanggil pemilik dan pekerja stesen minyak berkenaan bagi menjalankan siasatan daripada semua aspek.

“Pemilik stesen minyak itu juga dikatakan tidak menerima sebarang ugutan,” katanya.

Rusli berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat yang turut berada di tempat kejadian, berkata pihaknya telah menjalankan beberapa pemeriksaan dan ujian sebelum keputusan untuk membenarkan bom itu diletupkan.

“Kami takut kalu meletup ada api dan merebak ke stesen minyak tetapi Alhamdulillah semua terkawal. Keadaan stesen minyak selamat sekarang ini,” katanya. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.