Gopi tekad bantu Tok Gajah

 

Gopi (kanan) tekad menggegar jaring Terengganu, Sabtu ini.

Gopi (kanan) tekad menggegar jaring Terengganu, Sabtu ini.

PEMAIN tengah Pahang, R Gopinanthan mahu menjadikan perlawanan berdepan Terengganu Sabtu ini sebagai medan untuk terus meningkatkan prestasi selain membuktikan kemampuan sebenarnya.

Mengakui prestasinya sedikit terumbang-ambing pada musim ini berbanding musim lalu, pemain berusia 24 tahun itu mahu membantu Tok Gajah meraih tiga mata berharga di gelanggang sendiri.

Selepas membantu Pahang dengan gol penyamaan ketika berdepan Johor Darul Ta’azim (JDT) pada 16 Mei lalu, pemain yang juga mesra dipanggil Gopi itu semakin yakin untuk terus mencari jaringan.

“Saya akui prestasi musim ini kurang memberangsangkan dan saya juga berusaha sedaya mungkin untuk memperbaiki kelemahan ini.

“Tetapi saya harap dengan aksi seperti berdepan JDT lalu dapat dikekalkan pada Sabtu ini sekali gus dapat meraih kejayaan di gelanggang sendiri,” katanya.

Menurutnya, kekalahan tipis 0-1 di tangan Selangor baru-baru ini sememangnya mengecewakan pemain sekali gus rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri lebur.

“Ini peluang terbaik saya dan rakan-rakan menebus kembali kehampaan dan menghadiahkan kemenangan untuk penyokong setia Tok Gajah,” katanya.

Dengan dua gol dalam saingan Liga Super setakat ini, pemain yang terkenal dengan kepantasan lariannya itu sememangnya perlu memantapkan kembali sentuhannya seperti musim lalu.

Pemain berasal dari Kuantan itu turut mengharapkan kerjasama rakan sepasukan dan menggunakan peluang beraksi di gelanggang sendiri sebaik mungkin.

“Kami perlu mencari tiga mata kerana kedudukan Pahang dihimpit rapat JDT dan ini peluang terbaik untuk terus menambahkan mata dan mengejar kedudukan pendahulu liga,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.