Gimik Pistol Ganti Keris, Pengantin Ini Disoal Polis

BUKAN pelik jika pengantin lelaki berbaju Melayu songket lengkap bertanjak, ditambah rantai dan keris, namun bagaimana pula jika raja sehari itu selit aksesori lain di pinggang bagi ganti keris.
Namun pada sebuah majlis persandinan yang berlangsung di Dewan Japerun Duyong, Melaka pada Ahad lalu, tetamu gempar dengan pengantin lelaki tampil membawa sepucuk pistol dan bukan senjata tradisional lazim itu.

Beberapa gambar eksklusif pasangan pengantin itu berpakaian serba kuning telah tular menerusi media sosial tempatan pada Isnin yang jelas menampakkan senjata api berwarna hitam ada diselitkan pada samping.

“Dah macam mafia pula,” komen seorang netizen yang turut menggambarkan penggunaan pistol sebagai aksesori pengantin berkenaan tidak ubah seperti watak antagonis dalam mana-mana filem aksi jenayah gengster.

Malah pengantin lelaki itu, Muhammad Saiful Ikhsan Muzafar, 25, mengaku dia merancang kira-kira dua minggu lebih awal untuk menggunakan pistol tersebut bagi menggantikan keris pada majlis perkahwinannya baru-baru ini.

Penyelia kilang di Rawang, Selangor itu menjelaskan bahawa dia mahu tampil kelainan pada hari bersejarah dirinya bersama-sama isteri. Namun ia sekadar pistol permainan berharga RM45 dijual menerusi laman beli-belah online.

“Saya tahu adalah satu kesalahan kalau memiliki senjata api walaupun permainan yang menyerupai senjata asli, jadi saya potong pistol airsoft gun berkenaan dan pakai bahagian pemegang sahaja, jadi nampak macam olok-olok.

“Tak nafi ramai tanya sama ada ia asli dan saya kata pistol ini hanya gimik untuk nampak unik. Lagipun sepanjang majlis, pemegang ini hanya terselit di samping, kalau keluar pun bukan nampak pistol,” katanya kepada mStar.

Mengenai komen netizen bahawa pemakaian ‘pistol’ tidak mengikut adat, Muhammad Saiful tidak lihat ia menyalahi agama. “Saya tukar sikit sahaja daripada adat ini. Saya hendak ketengah supaya ia tidak nampak begitu ortodoks.

“Sebelum ini terdapat cadangan untuk memakai kot bagi menggantikan baju Melayu, tetapi keluarga dan saudara-mara tolak mentah-mentah,” kata Muhammad Saiful yang berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Malah idea itu bukan ambil inspirasi mana-mana filem aksi kerana dia lebih minat filem perlumbaan. “Idea ini pun secara tidak langsung masa saya buat carian barangan elektrik di laman web dan kemudian nampak permainan ini.”

Bagaimanapun, Muhammad Saiful berkata, dia memohon maaf kepada orang ramai jika keliru dengan penggunaan ‘pistol’ itu kerana dalam kesempurnaan majlis perkahwinan tersebut mungkin ada perkara yang terlepas pandang.

Majlis resepsi sebelah keluarganya berlangsung di Semabok, Melaka selepas selamat bernikah dengan Nur Wahida Norbani, 23, pada 1 Disember 2017. Muhammad Saiful semalam difahamkan memberi keterangan pada pihak polis.

Ia berlangsung di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah. Beliau juga memberi keterangan kepada pihak IPD Gombak malam kelmarin dan memberikan gambar contoh pistol berkenaan kepada polis dari Bukit Aman.

“Keluarga, kawan-kawan ada juga sindir selepas apa berlaku dan isteri pun reda saja selepas saya buat gimik itu. Ini akan jadi kenangan sehingga ke anak cucu dan saya akan pesan mereka supaya jangan buat macam ini!,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Me­laka, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid berkata, perbuatan pengantin tersebut menjadi ke­salahan di bawah seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki pistol tiruan.

Katanya, jika disabitkan bersalah di mahkamah, mana-mana individu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Agensi

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.