Gempa Bumi Tasik Kenyir Gegar Kali Ketiga Sejak 1980

gempakenyir

PUTRAJAYA  – Gempa bumi lemah bermagnitud hanya 2.7 pada skala Richter yang dikesan di Tasik Kenyir, Terengganu, pada Selasa malam adalah kali ketiga direkodkan di kawasan tersebut sejak 36 tahun.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan media berkata gegaran tersebut bagaimanapun boleh dirasai di sekitar Kuala Berang yang terletak kira-kira 40 kilometer dari timur tasik air tawar berkenaan.

Pusat gempa bumi tersebut dikesan terletak pada kedudukan 5 darjah Utara dan 102.9 darjah Timur, iaitu cuma 16 kilometer arah barat daya dari Kuala Berang dan 66 kilometer dari Kuala Terengganu.

Menurut kenyataan itu, tiada ancaman tsunami berikutan gempa yang berlaku pada 9.25 malam itu, namun agensi itu sedang memantau perkembangan dan akan memaklumkan sebarang maklumat terkini.

Tasik Kenyir yang mengandungi sejumlah 340 buah pulau dan siap dibina pada 1988 lalu merupakan tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia Tenggara dengan keluasan kira-kira 260,000 hektar.

Dalam pada itu, kejadian gempa bumi tersebut adalah ketiga pernah direkodkan sejak 36 tahun lalu berdasarkan kepada data Jabatan Meteorologi sendiri (ketika itu dikenali Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca).

Kes gempa bumi kali pertama direkodkan di kawasan berkenaan pada 1980 ketika bermula proses pengisian air mentah di empangan Tasik Kenyir untuk tujuan penjanaan kuasa elektrik secara tenaga hidro.

gempabumitasikkenyir

Pengarah Jabatan Meteorologi Negeri Terengganu, Jenuwa Husin berkata, gegaran yang direkodkan ketika itu adalah 4.6 skala Richter iaitu yang paling kuat pernah dicatatkan di negeri berkenaan.

Katanya, kali kedua gempa bumi dikesan adalah sekitar Mac 2010, yang menyebabkan gegaran sekuat 2.6 skala Richter berpusat di 43 kilometer barat daya Kuala Terengganu dan 22 kilometer barat Kuala Berang.

“Malam tadi (23 Februari 2016), pihak Jabatan Meteorologi berjaya mengesan satu gegaran kecil hanya berukuran 2.7 skala Richter di Tasik Kenyir, kira-kira pukul 9.25 malam waktu Malaysia.

“Berdasarkan laporan pemantauan, gegaran itu dikesan berlaku di 16 kilometer barat daya Kuala Berang pada kedalaman 10 kilometer dan boleh dirasai di sekitar lokasi terbabit,” kata Jenuwa lagi.

Beliau turut menafikan konon gegaran tersebut adalah berpunca daripada kerja pihak Tenaga Nasional Berhad di lokasi berkenaan seperti yang viral disebarkan menerusi media sosial tempatan.

Gegaran itu turut dirasai lebih 20 kampung sekitar kawasan Empangan Tasik Kenyir termasuk Kampung Jenagor, Kampung Tapah, Kampung Dusun, Kampung Pueh, Kampung Dura dan Kampung Sungai Berua.

“Gegaran dipercayai berlaku akibat pelepasan gas tektonik dari garis sasar atau garisan gempa bumi. Orang ramai tidak perlu panik kerana gegaran itu sangat lemah,”jelas Jenuwa.

 

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.