FAM perlu jadi hak badan gabungannya

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menjadi hak milik penuh anggota gabungannya jika mahu melihat bola sepak negara maju dan dikenali di peringkat antarabangsa.
image (3)
Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata ini termasuk diteraju oleh pemimpin yang benar-benar ‘masak’ dan terlibat secara langsung dengan sukan itu.

“Pada saya, seorang daripada presiden persatuan anggota gabungan harus memimpin FAM. FAM tidak harus dipimpin oleh orang yang berada di luar badan gabungan.

“Ini mungkin orang kata sensitif tetapi itulah realiti. Saya tak nak berselindung kerana saya fikir seorang daripada presiden anggota gabungan yang harus jadi presiden FAM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Sukan Politeknik Kota Bharu, di sini hari ini.

Annuar yang juga bekas Timbalan Presiden FAM dan bekas Presiden Bola Sepak Kelantan (Kafa), berkata FAM perlu berubah agar seiring dengan usaha kerajaan yang sedia melakukan transformasi dalam sukan berkenaan menerusi pelan tindakan dan penubuhan jawatankuasa khas.

“Sebagai orang yang pernah terlibat dalam FAM, saya berpandangan pengurusan bola sepak Malaysia mestilah berubah bermula daripada atas, tetapi ini terpulang kepada badan gabungan negeri masing-masing untuk mengambil tindakan.

“Kalau kita benar-benar hendak maju, pihak kerajaan sudah ada ‘blue print’, sudah ada jawatankuasa tetapi yang mesti berubah dahulu ialah FAM itu sendiri… kerajaan hanya membantu,” katanya.

Justeru, beliau berharap pemilihan Jawatankuasa Tertinggi FAM yang akan diadakan pada tahun ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh anggota dan badan gabungan dalam menentukan hala tuju pembangunan bola sepak negara.

“Pastikan FAM dimiliki badan-badan gabungan, sebab masalah badan gabungan cukup banyak tapi tak dipedulikan oleh badan induk…sentiasa di kesampingkan.

“Masalah negeri banyak tak diberi perhatian dan FAM sering menganggap masalah yang menimpa badan gabungan adalah remeh-temeh,” katanya. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.