Erra Fazira tertekan

Erra Fazira

Erra Fazira

SETIAP pasangan yang berkahwin tidak akan sesekali terlepas dari melalui ujian rumah tangga. Ada yang berjaya melaluinya dan tidak kurang juga yang terpaksa akur untuk membawa haluan masing-masing, biarpun perkahwinan yang dibina sudah melebihi satu dekad.

Namun bukan semua pasangan yang berpisah mampu mengekalkan hubungan baik dengan bekas pasangan hidup kerana kekecewaan lalu. Dan tidak kurang juga yang masih mengekalkan hubungan baik demi kebahagiaan anak-anak.

Begitu jugalah dengan kisah hidup Fazira Wan Chek yang sudah bergelar ibu tunggal sejak setahun lalu selepas bercerai dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Biarpun hak penjagaan anak perempuannya, Engku Aleesya diberikan sepenuhnya terhadap Emran, namun ia bukan alasan buat Erra mahupun Emran bermasam muka.

Sebaliknya kedua-dua mereka dilihat mengekalkan hubungan baik demi kebahagiaan Aleesya yang kini sudah pun berusia enam tahun.

Bagaimanapun entah mengapa, sesetengah pihak melihat kemesraan Erra dan Emran itu sebagai petanda baik dan berharap kedua-dua kembali bersama.

Tidak menafikan sedikit tertekan dengan harapan orang luar, selebriti serba boleh ini bagaimanapun tidak cepat melatah kerana merasakan bukan semua orang memahami situasi sebenarnya.

“Saya akui sedikit tertekan apabila ada yang salah anggap dengan hubungan baik kami. Tapi saya mahu mereka pandangan hubungan kami dari sudut yang positif.

“Apabila sudah bercerai, tidak semestinya kita tidak boleh berbaik dengan bekas pasangan kita, apatah lagi yang sudah mempunyai anak hasil perkongsian hidup bersama.

“Yang tidak lagi boleh tinggal sebumbung adalah pasangan itu, tapi tanggungjawab terhadap anak tetap sama.

“Malah suatu hari nanti kalau Emran kahwin, isterinya kena terima hakikat bahawa saya ialah ibu kepada Aleesya dan bila saya kahwin pun, suami saya kena terima hubungan baik saya dengan Emran sebab dia bapa Aleesya,” katanya kepada media ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Erra lagi, dia dan Emran bukan sengaja bercerai sekadar suka-suka dan setiap penceraian itu mesti ada sebab yang sukar untuk dijelaskan.

“Setiap pasangan yang bercerai pasti ada sebabnya, tapi janganlah kerana mereka masih baik, selalu keluar bersama, maka ia dilihat sebagai satu kemestian untuk mereka berkahwin semula.

“Sebaliknya lihat dari suatu sudut yang positif, di mana setiap pasangan yang bercerai, masih boleh mengekalkan hubungan baik biarpun sudah membawa haluan masing-masing.

“Inilah contoh yang saya mahu berikan kepada masyarakat dan Alhamdulillah ada yang memahami serta melihat ia dari sudut positif,” jelasnya ketika diminta mengulas mengenai sambutan ulang tahun anak mereka yang diraikan secara bersama termasuk Emran pada penghujung Mac lalu.

Erra berkata, pengalamannya membesar tanpa ayah membuatkan dia memahami kekosongan yang perlu diisi kepada anaknya dan dia juga bersyukur apabila Aleesya bersikap matang dan amat memahami perpisahan di antara kedua ibu bapanya.

“Walaupun dia baru berusia enam tahun, tapi dia amat memahami apa yang berlaku di sekelilingnya. Bagaimanapun saya lihat, Aleesya mendapat kasih sayang berganda daripada kedua-dua belah pihak keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai teman lelaki berstatus bujang yang didedahkan November tahun lalu, Erra berkata, mereka masih dalam peringkat mengenali antara satu sama lain.

Bagaimanapun Erra enggan mendedahkan hubungan mereka dengan lebih lanjut kerana merasakan tiada perkara baharu untuk dikongsikan.

“Kami masih di fasa mengenali hati budi dan belum merancang ke fasa seterusnya. Malah kami bercinta cara orang dewasa dan tiada keluar makan atau tengok wayang.

“Buat masa ini saya belum bersedia untuk bercakap tentang dia dan saya dedahkan perkara itu sebelum ini kerana mahu menutup spekulasi hubungan cinta yang keluar,” ujarnya.

Elak kontroversi

Sementara itu, Erra yang kini menjadi juri tetap dalam program Kilauan Emas 5 mengakui akan cuba menjaga setiap butir komen yang keluar agar tidak disensasikan sehingga menjadi kontroversi.

Ujar Erra, dia menerima tawaran untuk menjadi juri tetap setelah ditawarkan lebih awal oleh pihak produksi.

“Sebelum ini saya pernah jadi juri jemputan dan pernah juga ditawarkan jadi juri tetap tapi kerana jadual penuh, saya tak dapat terima.

“Cuma kali ini mereka tawarkan lebih awal, jadi saya dapat susunan jadual dan mereka juga boleh mengikut jadual saya, andai saya ada masalah.

“Macam yang saya beritahu sebelum ini, saya tak suka menilai orang. Jadi saya akan beri pandangan dari sudut persembahan. Apa pun saya akan memastikan setiap butir komen yang dikeluarkan tidak keterlaluan kerana yang dikomen bukan budak tetapi ada yang lebih tua dari saya.

“Kalau tekanan itu, saya lebih rasa tekanan dari luar, dari orang yang menonton kelak,” katanya yang turut menjadi juri program Dewi Remaja 2015.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.