Empat kali rogol anak tiri

Tertuduh dipenjara 24 tahun dan dikenakan 16 sebatan selepas mengaku salah merogol anak tirinya sebanyak empat kali.

Tertuduh dipenjara 24 tahun dan dikenakan 16 sebatan selepas mengaku salah merogol anak tirinya sebanyak empat kali.

KUALA TERENGGANU – Perbuatan jijik seorang buruh yang tergamak menjadikan anak tirinya sebagai tempat melampiaskan nafsu, menerima balasan apabila dia dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan 16 sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas empat pertuduhan melakukan sumbang mahram iaitu merogol mangsa sebanyak empat kali di lokasi dan tarikh berasingan.

Tertuduh mengaku salah bagi pertuduhan keempat merogol mangsa di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Padang Tapong, Jerteh, Besut, kira-kira jam 12 tengah hari, pada 21 Ogos 2013, yang ketika itu mangsa sudah berusia 18 tahun.

Dengan itu, dia mengaku salah atas keempat-empat pertuduhan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram.

Berdasarkan fakta kes, pada Ogos 2007, kira-kira jam 10 malam hingga 11 malam, semasa tertuduh membawa pulang mangsa dari kelas malam dengan menaiki motosikal, dia telah memberhentikan motosikalnya di kawasan ladang getah sebelum bertindak merogol mangsa di situ sebanyak sekali.

Keesokannya, mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya dan terkejut mendengar berita tersebut, ibu mangsa bertindak memarahi suaminya, namun tertuduh telah memukul isterinya serta mangsa.

Pada pertengahan Mei 2011, kira-kira jam 7.30 pagi semasa ibu mangsa keluar bekerja menoreh getah, tertuduh sekali lagi merogol mangsa di ruang tamu rumah mereka.

Sejurus ibunya pulang, mangsa menceritakan perbuatan jijik bapa tirinya itu, namun selepas mendapat tahu perbuatannya disebarkan kepada isterinya, tertuduh sekali lagi memukul mangsa dan isterinya itu.

Pada pertengahan Mac 2012, jam 10 pagi, akur dengan arahan bapa tirinya itu yang menyuruh dia mengikutnya ke pekan Jerteh dengan menaiki motosikal, mangsa sekali lagi menjadi pemuas nafsu tertuduh.

Tertuduh memberhentikan motosikalnya di kawasan hutan dan di situ dia sekali lagi merogol mangsa.

Seterusnya, pada 21 Ogos 2013, semasa ibu mangsa berada di Hospital Besut kerana melahirkan anak bongsu, mangsa diajak tertuduh ke ladang kelapa sawit dan disebabkan takut dengan bapa tirinya itu, mangsa akur sebelum dirogol di situ.

Bagaimanapun, pada 3 September 2013, disebabkan tidak tahan lagi diperlakukan sedemikian, mangsa nekad menceritakan kejadian itu kepada rakan sekelasnya yang kemudiannya telah memaklumkan kepada guru kaunseling sekolah mereka.

Keesokannya, setelah dirujuk kepada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Besut, mangsa dibawa ke Balai Polis Kampung Raja untuk membuat laporan, sebelum tertuduh ditangkap di hadapan rumahnya hari sama laporan dibuat, iaitu kira-kira jam 8 malam.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.