Empat ahli kongsi gelap ditahan

GEORGETOWN – Empat lelaki yang dipercayai ahli kongsi gelap ditahan di sebuah rumah di Bukit Mertajam Isnin lalu selepas dipercayai terlibat dengan pelbagai kegiatan jenayah.

Abdul Rahim (tengah) menunjukkan pistol tiruan yang dirampas.

Abdul Rahim (tengah) menunjukkan pistol tiruan yang dirampas.

Dalam serbuan yang dijalankan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang kira-kira jam 1.30 petang itu, menemui sejumlah dadah dan sepucuk pistol tiruan daripada lelaki berusia antara 24 hingga 38 tahun itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis menemui sejumlah heroin nombor 3 seberat 7.35 gram (g), syabu seberat 0.3 g dan pil ecstacy seberat 1.3 g daripada kesemua lelaki itu selain sepucuk pistol tiruan bertulis CAL 45 ACP/ Baby Hi-Capa 3.8 tanpa peluru.

“Polis percaya pistol tiruan itu digunakan mereka untuk kegiatan memeras ugut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39 A(2) ADB 1952 yang boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Selain itu polis juga menyiasat kes itu mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api yang membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau dengan maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Abdul Rahim berkata, dua daripada suspek yang bekerja sebagai peniaga dan bekerja sendiri itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kesemua mereka kini direman sehingga 11 November ini bagi membantu siasatan.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.