Dua Perompak Pukul Nenek Ditahan

Nenek

JOHOR BAHRU – Dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian rompakan dan membelasah seorang warga emas, Zainun Baharon, 77, Isnin lalu berjaya diberkas polis.

Kedua-dua mereka ditahan secara berasingan di sekitar kawasan Bandar Baru Kangkar Pulai antara jam 7.15 malam kelmarin hingga 2.30 pagi semalam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, suspek yang berusia 55 tahun dan 37 tahun itu adalah penduduk di kawasan berdekatan kediaman mangsa.

“Pihak polis memberi perhatian terhadap kes ini dan telah membentuk satu pasukan untuk membuat siasatan sehingga berjaya memberkas dua suspek.

“Hasil pemeriksaan, suspek berusia 37 tahun yang juga seorang buruh itu didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau berhubung kes dadah dan ujian saringan awal air kencing turut mendapati dia positif dadah,” katanya yang ditemui ketika melawat Zainun di rumah anaknya di Taman Desa Jaya di sini, semalam.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan wang, buah-buahan serta memberi nasihat dan semangat kepada mangsa yang masih dalam keadaan trauma itu.

Kini, keadaan Zainun stabil dan pihak hospital melaporkan mangsa tidak mengalami pendarahan dalaman, namun dinasihatkan perlu banyak berehat kerana masih mengalami sakit-sakit badan akibat dibelasah suspek selain kesan jahitan di kepalanya yang masih baru.

Kira-kira jam 5.30 petang, Isnin lalu, Zainun dipukul dua suspek yang bertindak ganas selepas memasuki rumahnya ketika dia berada di dapur.

Dia yang tinggal berseorangan di rumah itu berkata, suspek menumbuk matanya dan memukul kepala serta belakang badannya dengan sebatang kayu sebelum dia rebah dan pengsan.

Dalam kejadian itu, rantai dan gelang yang dipakai mangsa dibawa lari suspek. – Sinar Harian Online

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.