Disingkir produksi, Hanez tutup mulut!

Hanez Suraya

Hanez Suraya

GARA-gara kontroversi yang tercetus sebelum ini, karier seni Hanez Suraya kini dilihat semakin malap. Bukan sahaja hilang tawaran seni bahkan dia juga semakin hilang peminat.

Lebih buruk lagi, bintang Autumn Di Hatiku ini khabarnya telah digam oleh stesen TV tempatan sekali gus menjejaskan periuk nasinya sebagai seorang pelakon.

Biarpun pernah merayu agar diberi peluang kedua, namun nasib tetap tidak berpihak kepada pelakon berusia 27 tahun ini.

Mana tidaknya, kegembiraan berkongsi berita mengenai penglibatannya dalam telefilem Cikgu Timah Sekolah Bandar, bertukar sebaliknya apabila bekas duta Aura White ini dikatakan telah disingkirkan daripada projek tersebut. Malah tempatnya itu digantikan pula dengan pelakon lain.

Hanez yang dihubungi bagaimanapun enggan mengulas perkara tersebut dan nampaknya lebih selesa untuk berdiam diri.

“Saya tidak mahu komen lagi mengenai isu ini,” tegasnya.

Menerusi temu bual sebelum ini, Hanez pernah meluahkan hasratnya untuk kembali aktif berlakon dan memohon agar semua pihak memberi peluang kepadanya.

“Memang saya akui isu yang timbul telah menggelapkan karier saya. Namun apa berlaku sebelum ini membuatkan saya lebih kuat untuk teruskan hidup.

“Saya yakin Tuhan sentiasa ada di sisi. Biarlah apa orang nak cakap, satu hari nanti orang akan tahu cerita sebenar,” katanya.

Dalam tempoh ‘dihukum’, Hanez bagaimanapun tidak pernah putus asa untuk bangkit kembali. Buktinya, dia telah berjinak dalam bidang perniagaan dan menghasilkan syampu jenama sendiri iaitu VLasy.

Meskipun ada yang memandang rendah terhadap usahanya itu, namun Hanez tetap optimis dan yakin produknya itu mampu pergi jauh.

“Buat masa ini,  saya jual secara online dan respons yang diberikan sangat positif,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.