Dikritik peminat, Emma Maembong tak cepat melatah

Emma Maembong

Emma Maembong

KINI, ramai selebriti mula berhijab namun ia masih tidak dapat memuaskan hati semua peminat.

Ini kerana, ada segelintir peminat yang tidak suka dengan cara pemakaian sesetengah selebriti berhijab yang dikatakan mengikut bentuk badan dan kelihatan seksi.

Mungkin sudah lumrah bergelar selebriti, setiap gerak-geri mahupun susuk tubuh pasti saja menjadi perhatian.

Itu juga yang dialami oleh aktres jelita, Emma Maembong yang dikritik hebat oleh peminatnya di laman sosial Instagram apabila dilihat tampil dengan imej tidak bersesuaian sebagai wanita berhijab.

“Biarlah peminat nak kata apa pun kerana mereka tidak kenal diri saya yang sebenarnya. Lebih baik jangan menilai orang berdasarkan kepada pandangan luaran saja.

“Lagipun, saya tak nak jadi seorang yang ‘fake’ hanya semata-mata mengikut kemahuan orang lain,” katanya kepada Zass ketika ditemui di majlis memperkenalkan drama lakonannya, Jodoh Sebelah Pintu, baru-baru ini.

Mengakui tidak berkecil hati, bintang drama bersiri Projek Memikat Suami ini sebaliknya menyifatkan teguran itu sebagai satu cara untuknya mempersiapkan diri ke arah yang lebih baik pada masa hadapan.

“Saya tak kecil hati sebab saya juga manusia biasa yang kadang-kadang ada melakukan kesilapan.

“Tetapi, jika teguran itu datang secara baik, saya akan ambilnya sebagai kata-kata nasihat. Malah, ia akan membuatkan saya untuk lebih berfikir.

“Lagi pula, saya baharu saja berhijab dan biarlah ia berlaku secara perlahan-lahan serta semula jadi.

“Saya bukanlah berhijab kerana ikut trend. Apa yang penting, saya kenal diri saya,” katanya yang berharap agar peminatnya memberinya ruang untuk memperbaiki diri.

Sering kali ditempelak di laman sosial, pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail ini bagaimanapun tidak menganggapnya sebagai satu isu yang besar sekali gus memberi tekanan terhadap dirinya.

“Kadang-kadang saya sendiri pun tak faham apa yang mereka (peminat) mahukan. Apabila saya dah berhijab dan terdapat pula babak dalam bilik tidur dalam keadaan berhijab, pelbagai komen saya dapat. Tapi, jika buat perkara sebaliknya, mulalah jatuhkan pelbagai hukum.

“Mungkin ini adalah taktik untuk ‘perangkap’ artis agar melayan mereka. Tapi, sejujurnya, saya tak ada pula rasa tertekan.

“Cuma, apa yang saya kesalkan, tindakan mereka itu seolah-olah artis ini tidak ada perasaan sedangkan, artis ini jugalah yang akan menghiburkan mereka,” katanya.

Hanya kawan baik

Dalam pada itu, pelakon berusia 23 tahun ini bakal bergandingan sekali lagi dengan aktor Kamal Adli menerusi drama bersiri terbaharu mereka, Jodoh Sebelah Pintu arahan Michael Ang mula bersiaran di saluran 116 Hypp TV pada 29 Julai depan.

Sebelum ini, kedua-dua selebriti ini pernah bekerjasama menerusi drama bersiri Syurga Tanpa Cinta.

Ekoran tersebarnya foto-foto mesra di laman-laman sosial, ramai pula peminat yang beranggapan mereka sedang hangat menjalinkan hubungan cinta ditambah lagi kedua-duanya kini sudah kembali solo setelah putus cinta dengan pasangan masing-masing.

Saat diajukan mengenai perkara itu, teraju utama drama bersiri Astana Cinta Aleesa ini bagaimanapun tanpa berselindung mengakui Kamal adalah rakan lelaki paling rapatnya setakat ini.

Katanya, biarpun rapat sebagai kawan, andai ditakdirkan ALLAH SWT mempunyai jodoh yang kuat, dia terima dengan hati terbuka.

“Awal-awal lagi saya cakap pada dia, kita kawan dulu! Tapi kalau ada jodoh, adalah. Saya pun tidak kisah kalau orang luar terus mengaitkan kami bersama selepas ini.

“Buat masa ini, nak jaga hati masing-masing terlebih dulu sebelum menjaga hati orang lain. Apabila orang kata saya ‘kantoi’ sebab bercinta dengan dia, saya pun tak faham, apa yang ‘kantoinya’?

“Bukan saya keluar secara sorok-sorok pakai purdah sambil merangkak sebab tak mahu orang tahu, sebaliknya kami keluar bebas sama ada secara berdua untuk makan atau beramai-ramai menonton wayang mahupun bermain boling,” katanya.

Ketika ditanya apakah keistimewaan Kamal di matanya, Emma mengakui bintang filem Kembar Siang itu hanya menjadi diri sendiri.

“Dia seorang yang sangat menyeronokkan dan tak suka menghukum orang lain selain mudah dibawa lepak ke mana-mana pun, walau sekadar warung tepi jalan. Saya tak suka orang yang tak jujur dengan diri sendiri. Saya mahu lelaki yang boleh terima saya seadanya.

“Bahkan, ada sesetengah lelaki kalau di ajak keluar, terus nak bawa ke saya tempat-tempat yang kononnya ‘high-class’ walhal saya bukanlah orang yang macam itu,” katanya yang sibuk di set penggambaran drama bersiri itu sepanjang Ramadan ini.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.