Derita belum berakhir

Lee Chong Wei

Lee Chong Wei

PENANTIAN satu penyeksaan, mungkin itu yang sedang dihadapi ikon badminton negara Datuk Lee Chong Wei apabila Persekutuan Badminton Dunia (BWF) gagal membuat keputusan berhubung nasibnya itu.

Selepas enam bulan digantung dan lapan jam dibicara, penderitaan bekas pemain nombor satu dunia itu tampaknya belum berakhir apabila terpaksa menunggu selewat-lewatnya tiga minggu lagi untuk mengetahui nasibnya.

Harapan beliau untuk menamatkan mimpi ngeri ini juga tidak kesampaian selepas panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang bermula jam 4 petang hingga 11.30 malam Sabtu lalu, masih belum membuat sebarang keputusan.

Dikhabarkan, panel yang mengendalikan perbicaraan itu akan meneliti semua jawapan dan bukti sebelum mengumumkan keputusan dalam tempoh tiga minggu.

Sabtu lalu, Chong Wei berdepan detik paling penting dalam kariernya apabila perlu menghadapi tiga panel bebas BWF untuk memberikan hujah bagi membersihkan namanya pada prosiding yang berlangsung di Hotel Sheraton Lapangan Terbang Amsterdam, Belanda.

Sesi pendengaran itu bermula pada jam 10 pagi waktu tempatan (jam 4 petang waktu Malaysia) dan difahamkan mengambil masa sehingga lapan jam.

Media Malaysia yang membuat liputan di Amsterdam tidak dibenarkan berada dalam kawasan hotel tersebut atas permintaan BWF dan turut meminta agar menghormati sesi pendengaran itu.

Chong Wei ditemani peguam sukan yang dilantik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Mike Morgan yang akan mengemukakan hujahnya berhubung kes doping jaguh negara itu kepada panel.

Turut menemani Chong Wei di Amsterdam ialah Pengurus Besar BAM, Kenny Goh dan ahli majlis badan itu, Jadadish Chandra.

Sebelum ini, Chong Wei diuji bahan terlarang jenis dexamethasone ketika menyertai Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark 30 Ogos tahun lalu.

Pemain berusia 32 tahun itu kemudian digantung sementara oleh BWF selepas ujian Sampel B yang dilakukan di Oslo, Norway, 5 November lalu turut disahkan mengandungi bahan yang sama.

Terima kasih atas sokongan

Walaupun tiada keputusan dicapai, namun pemain kelahiran Pulau Pinang itu tetap menarik nafas lega dan gembira selepas sesi pendengaran ini berakhir.

“Saya tahu semua orang menanti keputusan, tetapi kita perlu tunggu. Pihak panel akan membuat keputusan dalam tempoh tiga minggu lagi.

“Saya gembira dengan  apa yang telah dibentangkan. Sekarang kita kena tunggu. Saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang terus memberi sokongan,” katanya.

Jika panel tersebut mendapati beliau bersalah, hukuman maksimum digantung selama dua tahun bakal dikenakan ke atas Chong Wei.

Bagaimanapun pemenang pingat perak Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) mengharapkan hukuman ringan (6 bulan) agar dapat kembali semula ke gelanggang bagi mengumpul mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.