Dazrin Mohon Maaf, Sedar Dirinya Bersalah

INGATKAH anda mengenai isu masalah disiplin pelakon Dazrin Kamarudin yang dikatakan kerap lewat ke lokasi penggambaran sehingga ditegur Fasha Sandha?

Dek kerana itu, dia berhasrat untuk mengadakan satu sidang media bagi memberi penjelasan mengenai masalah tersebut.

Bagaimanapun, hasrat itu belum lagi berjaya dilaksanakan lantaran kesibukan kerja.

Menerusi portal hiburan GUA, Dazrin berkata, tujuan sidang akhbar itu diadakan ialah untuk memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat.

“Saya minta maaf jika selama saya bekerja dengan mana-mana pihak, saya ada buat mereka tersinggung. Saya sedar selama ini bukan dengan pihak produksi Miranda saja perkara ini berlaku, namun produksi lain juga pernah mengalami masalah yang sama kerana saya.

“Walaupun perkara ini berlaku, namun tak pernah ada yang berani menyuarakan mahupun membangkitkan isu ini. Saya akui saya salah serta melakukan kesilapan, jadi saya ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terasa dengan perbuatan saya.

“Ada pelbagai sebab, dari masalah peribadi, bangun lewat sehinggalah pelbagai lagi isu yang mendorong ke arah faktor tersebut. Di sebalik gelaran sebagai hos dan pelakon, saya juga masih manusia biasa yang tetap ada masalah.

“Namun, saya tak boleh gunakan masalah yang dihadapi sebagai alasan untuk saya datang lambat. Walaupun kontroversi ini menjejaskan karier saya, namun saya terima saja apa yang berlaku kerana saya sedar saya berada di pihak yang salah,” ujarnya.

Pada masa yang sama, dia bersyukur kerana pengarah Along Kamaluddin tetap memberi peluang kedua kepadanya.

Dia turut mengakui hubungannya dengan Fasha juga masih baik dan menghormatinya sebagai pelakon senior.

Harapnya selepas ini tidak akan ada lagi cerita yang tidak enak mengenai Dazrin selepas ini ya.

Sayang jika bakat yang ada disia-siakan hanya kerana masalah disiplin, tak gitu?

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.