DAP ulangi kesilapan 13 Mei, kata Hadi

Hadi Awang

Hadi Awang

SHAH ALAM – Sikap berdegil DAP yang terus mempertahankan tindakannya menjalankan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang dikhuatiri akan mengundang ketegangan kaum sekali gus mengulangi kesilapan sama dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan DAP perlu mengambil kira pandangan politik sekutunya sebelum membuat keputusan sendiri dalam menguruskan pentadbiran sesuatu bandar.

“Pilihan raya Majlis Perbandaran seperti yang diperjuangkan oleh DAP adalah kembali kepada kesilapan, kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihan raya dalam jangka yang sangat pendek.

“Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar. Paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi “api dalam sekam” untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara,” katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan DAP kerana membuat keputusan untuk melaksanakan pilihan raya PBTdi Pulau Pinang walaupun tidak dipersetujui rakan komponen dalam PR.

Malah sebelum ini juga Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengecam tindakan DAP dan mendakwa mereka tidak pernah membentangkan cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT dalam Majlis Pimpinan PR sekali gus bantahan parti itu terhadap pelaksanaan hukum hudud boleh dianggap sebagai cakap tidak serupa bikin.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan DAP wajib menerima hakikat masyarakat majmuk dan perlu mengambil kira aspek tersebut jika mahu melakukan pilihan raya PBT.

“Kita perlu melihat semua termasuk Melayu di kampung, India di estet, orang asal dalam kawasan paling pendalaman dan kaum yang paling kecil, haram dipinggirkan daripada peranan memakmurkan bandar.

“Wajib disatukan dalam titik persamaan, saling mengerti dalam bertolak ansur dan bermaaf-maafan dalam perkara yang berbeza, berlaku adil terhadap semua.

“Bandar wajib diurus bukan sahaja pembangunannya, bahkan penduduknya, begitu juga penduduk keliling yang terlibat memakmurkannya,” katanya lagi. – Sinar Harian

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.