DAP persoal pinjaman mudah selamatkan Syabas

SHAH ALAM – DAP hari ini mempersoalkan tindakan Kerajaan Persekutuan yang terus-menerus menyelamatkan pembekal air bersih, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dengan melanjutkan lagi pemberian pinjaman mudah yang kini mencecah RM151 juta kepada subsidiari Puncak Niaga Holding Berhad itu.

Tony Pua

Tony Pua

Setiausaha Publisitinya, Tony Pua menegaskan kemudahan kredit tahunan itu tidak wajar diteruskan sedangkan Syabas masih gagal memberikan perkhidmatan air yang berkualiti kepada orang ramai sejak perjanjian konsesi air itu ditandatangani sejak 2004.

“Mengapa Kerajaan BN berterusan melanjutkan pemberian beratus-ratus juta ringgit kemudahan kredit tahunan kepada Syabas kononnya untuk menggantikan paip lama dan kritikal di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengurangkan kes kehilangan air yang tertinggi di negara ini.

“Ia benar-benar tidak bertanggungjawab dengan memberikan bantuan kewangan atau pinjaman kepada Syabas untuk menjalankan tanggungjawabnya untuk menaik taraf semua infrastruktur air yang diperlukan untuk memenuhi kewajipan untuk menyediakan air yang berkualiti perkhidmatan kepada rakyat Selangor dan KL,” katanya memetik kenyataan medianya, hari ini.

Semalam, Puncak Niaga Holdings Bhd mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meneruskan lagi pinjaman mudah kepada subsidiarinya, Syabas berjumlah RM151 juta dan pembekal air bersih itu diberi tempoh tiga tahun untuk memulakan pembayaran balik pinjaman itu dengan kadar faedah yang rendah iaitu tiga peratus.

Selain itu, Tony juga mempersoalkan pinjaman mudah berjumlah RM120 juta yang pernah diberikan kepada Syabas pada lapan bulan lalu masih gagal menyempurnkan kerja-kerja yang sama sekali gus membuktikan kerajaan Barisan Nasional berniat untuk menyelamatkan syarikat konsesi swasta itu daripada bangkrap.

“Sebelum ini Kerajaan Persekutuan bermurah hati membantu Syabas dengan memberikan pinjaman mudah sifar faedah berjumlah RM320.8 juta dan RM110 juta kemudahan kredit masing-masing pada Disember 2009 dan Oktober 2011.

“Kerajaan Persekutuan juga pernah mengambil alih semua hutang tertunggak Syabas berjumlah RM2.9 bilion yang disebabkan syarikat itu tidak dapat membayar balik pada 2011.

“Ini bermakna bahawa Syabas telah mendapat manfaat daripada sejumlah RM3.6 bilion wang pembayar cukai dalam bentuk geran dan pinjaman untuk menyelamatkan syarikat dari runtuh sejak Disember 2009,” dakwanya.

Beliau mendakwa jika kelebihan ini terus menerus diberikan kepada Syabas, dikhuatiri syarikat pembekal air bersih itu akan mengukuhkan kuasa dalam tawar-menawar serta menekan harga yang tinggi jika pengambilan konsesi air itu mahu diteruskan Kerajaan Negeri Selangor.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.