Curi telur waktu malam

HULU TERENGGANU – Peniaga barangan basah di Pasar Besar Kuala Berang, dekat sini, mendakwa telur ayam yang ingin dijual mereka hilang dipercayai dicuri pada waktu malam.

Rahmah menunjukkan tiga biji telur yang ditinggalkan pencuri.

Rahmah menunjukkan tiga biji telur yang ditinggalkan pencuri.

Lebih membingungkan apabila pencuri tersebut meninggalkan beberapa biji telur untuk kegunaan mangsa.

Kejadian terbaru berlaku malam kelmarin melibatkan seorang peniaga, Rahmah Long, 42, yang kehilangan kira-kira 100 biji telur ayam.

Difahamkan, kehilangan itu adalah kejadian dua malam berturut-turut kerana malam sebelumnya, Rohani Deraman, 42, yang berniaga sejak tiga tahun lalu turut menjadi mangsa.

Menurut Rahmah, dia menyedari kehilangan telur ayam yang ingin dijualnya itu kira-kira jam 8 pagi semalam ketika sedang mengemas barang bagi memulakan perniagaan.

Menurutnya, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati telur tinggal tiga biji sahaja.

“Petang Sabtu saya ada beli 100 biji telur dengan harga RM35 untuk dijual kembali. Saya hanya sempat jual RM2 sahaja dan pagi ini (semalam) didapati telur hanya tinggal tiga biji. Saya tidak menolak kemungkinan ia dicuri.

“Walaupun jumlah kerugian tidak besar, tetapi sebagai peniaga ia tetap bernilai. Menjadi tanda tanya apabila individu itu tidak ambil semuanya dan tidak berbaloi rasanya untuk saya jual tiga biji telur kepada pembeli.

“Mahu atau tidak, saya terpaksa ambil stok telur lain untuk dijual, namun pada masa sama turut rasa bimbang jika ia berulang. Tidak mustahil peniaga lain pula jadi mangsa selepas ini apatah lagi kehilangan telur ayam ini berlaku dua malam berturut-turut,” katanya.

Bagi Rohani, kes kecurian seumpama itu sering terjadi di situ dan kejadian dua malam lepas menyebabkan dia kehilangan 80 biji telur ayam dibelinya Jumaat lalu.“Yang peliknya, individu tersebut tinggalkan 20 biji telur untuk saya,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Talaha Ali berkata, pihaknya telah menempatkan seorang individu berperanan sebagai pengawal keselamatan di pasar tersebut dan turut mengharapkan peniaga juga dapat sama-sama menjaga harta benda masing-masing.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.