Bukan kritik, hanya mengadu

MELAKA – Tujuannya untuk kemudahan orang ramai, namun disebabkan aspek keselamatan kurang diberi perhatian, projek naik taraf jambatan Sungai Air Salak, Bukit Rambai di Tanjung Minyak, dekat sini mengundang rungutan penduduk.

Penduduk menunjukkan projek naik taraf jambatan yang mengundang masalah.

Penduduk menunjukkan projek naik taraf jambatan yang mengundang masalah.

Menurut penduduk,  sejak projek tersebut dijalankan hampir tiga bulan lalu, kemalangan di kawasan berkenaan semakin menjadi-jadi.

Penduduk setempat, Tan Shwee Heng,  52, berkata, mereka bukan mengkritik usaha kerajaan dalam menaik taraf jalan berkenaan, tetapi keadaan sekarang memaksa penduduk sekitar membuat aduan untuk mengelakkan kejadian lebih buruk.

“Kami sangat menyokong usaha kerajaan membina jambatan baru yang lebih baik dan selesa buat penduduk dan pengguna jalan raya di sini. Tetapi apabila kejadian kemalangan semakin banyak berlaku, kami perlu membawa perkara ini ke tengah,” katanya.

Menurutnya, sejak pembinaan itu, kerap berlaku kemalangan terutama sebelah malam kerana keadaan gelap.

“Meskipun ada papan tanda dan lampu keselamatan dipasang,  tetapi ia tidak cukup untuk memberi amaran kepada pengguna jalan ini. Disebabkan tidak sedar pembinaan sedang dilakukan di hadapan, ada antara mereka terbabas dan berlanggar,” katanya.

Menurut Shwee Heng, sebelum ini, ada pemimpin setempat datang melawat untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

“Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Yusof Hassan, 53, berkata, adalah lebih baik sekiranya pihak berkenaan tampil mencari jalan penyelesaian segera.

“Ini penting untuk penduduk dan pengguna jalan ini, jika tidak dibendung, mungkin ia akan mengorbankan nyawa pula nanti,” katanya.

Sementara itu, Bong  Guen Soon, 65, pula berkata, jalan itu merupakan jalan utama menghubungkan penduduk dari Cheng ke Tanjung Minyak.

“Biasanya keadaan akan lebih sibuk pada waktu tengah hari dan petang, ketika ini ramai budak-budak kampung yang menggunakan jalan ini.

“Lagipun, ini kawasan kampung, sedikit sebanyak ia mendatangkan kesusahan kepada kami. Risau kalau nanti ada antara penduduk di sini yang menjadi mangsa nanti,” katanya.

Manakala Ong Hui Mo, 60, pula berkata, struktur jalan tidak rata antara sebab kemalangan mudah berlaku.

“Kami harap sebelum projek ini dijalankan seperti biasa, pihak berkenaan dapat turun padang memantau serta menyediakan jalan sementara yang lebih sempurna Pada masa sama, kita minta pihak kontraktor mengemas kawasan berkenaan dan tidak meletak barang pembinaan di merata-rata tempat,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.