Bobby diburu Polis, Perak dan Kelantan

SETELAH dikhabarkan bahawa kontrak penyerang kelahiran Sabah, Bobby Gonzales bersama Sarawak tidak akan diperbaharui, ramai pasukan tempatan yang dilihat berminat untuk menggunakan khidmatnya musim depan.

Bobby Gonzales

Bobby Gonzales

Difahamkan Kelantan, Sabah, PDRM, dan Perak antara pasukan yang sedang berusaha mendapatkan pasukan itu untuk beraksi dalam pasukan masing-masing musim depan.

Mengesahkan perkara itu, Bobby yang muncul penjaring kedua terbanyak saingan Liga Perdana musim ini selepas meledak 16 gol bagaimanapun berkata, setakat ini beliau masih belum membuat sebarang keputusan mengenai hala tujunya musim depan.

Namun, beliau mengakui sedia berhijrah ke pasukan lain andai kata kontraknya bersama Sarawak tidak diperbaharui musim depan.

“Kedudukan saya bersama Sarawak musim depan masih belum diketahui lagi, jika kontrak sedia ada tidak diperbaharui saya sedia berhijrah ke pasukan lain musim depan.

“Lagipun saya memang mendapat banyak tawaran dari pasukan lain. Kelantan ada hubungi  saya, Sabah juga mahu saya pulang beraksi di negeri kelahiran sendiri. Malah Perak mahupun PDRM juga mahu menggunakan khidmat saya musim depan.

“Tapi buat masa ini saya tidak boleh beri sebarang keputusan kerana masih menunggu kata putus daripada Sarawak,” kata Bobby sambil menjelaskan kontraknya bersama pasukan Sarawak akan tamat penghujung bulan ini.

Bobby yang kini bersama skuad kebangsaan menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2015 memberitahu, memang ada perbincangan dilakukan dengan majikan, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Bagaimanapun katanya, belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu sehingga ke hari ini.

“Perbincangan dengan pihak pengurusan (FAS) memang telah dilakukan, namun tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini,” jelas Bobby lagi.

Ketika ditanya pasukan mana yang akan menjadi pilihan beliau musim depan, Bobby berkata, beliau tidak mahu memikirkan mengenai hal berkenaan buat masa ini.

Menurutnya, hala tuju kerjayanya dalam saingan Liga Malaysia musim depan akan diputuskan selepas berakhirnya perlawanan antara Malaysia dengan Bahrain dalam aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional, Manama Jumaat ini.

“Banyak perkara yang perlu saya fikirkan mengenai pasukan mana yang harus dipilih. Bukan kerana faktor kewangan tapi saya perlu tahu mengenai pengurusan pasukan itu.

“Bagaimana jurulatihnya dan sebaliknya. Saya mahu memilih yang terbaik. Mungkin lepas perlawanan Bahrain saya akan buat keputusan,” akui Bobby lagi.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.