BN sukar tembusi Klang

KLANG – Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menyaksikan keseluruhan kawasan di Klang kekal menjadi milik Pakatan Rakyat (PR), sekali gus menyumbang kepada pertambahan kerusi Dun untuk membentuk kerajaan di Selangor.

Kawasan itu termasuklah Parlimen Klang, Kapar dan sebahagian kawasan di bawah kerusi Parlimen Kota Raja seperti Seri Andalas.

Dua dari kiri: Charles Santiago, Abdul Khalid, Ganabatirau dan Pok Shyong meraikan kemenangan mereka di Klang.

Dua dari kiri: Charles Santiago, Abdul Khalid, Ganabatirau dan Pok Shyong meraikan kemenangan mereka di Klang.

Barisan Nasional (BN) dilihat masih tidak berjaya memikat hati rakyat di kawasan itu sepenuhnya apabila satu-satunya kerusi milik mereka di Dun Sementa yang terletak bawah Parlimen Kapar gagal dipertahankan.

Kerusi itu dimenangi PKR menerusi Dr Daroyah Alwi yang mendapat 21,520 undi mengalahkan pencabarnya, Md Ghazali Md Amin (13,674 undi) daripada BN dengan majoriti sebanyak 7,846 undi.

Parlimen Kapar yang mempunyai jumlah pengundi paling ramai di Malaysia iaitu kira-kira 144,159 mencatatkan sebanyak 88.1 peratus pengundi keluar menunaikan kewajipan.

Dari segi calon, G Mannivanan, muka baru PKR yang menggantikan bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam berjaya memberi keyakinan kepada rakyat di kawasan itu bahawa beliau mampu mentadbir dengan majoriti 23,790 undi, manakala Selat Kelang dan Sungai Pinang kekal dipertahankan penyandang masing-masing, Dr Halimah Ali dan Datuk Teng Chang Khim.

Di Parlimen Klang, BN gagal merampas semula kerusi tersebut termasuk tiga kerusi Dun di bawahnya iaitu Pelabuhan Klang, Pandamaran dan Kota Alam Shah.

Dun Pelabuhan Klang juga berjaya dirampas PKR menerusi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kemenangan itu membuktikan strategi PR meletakkan ‘giant killer’ di kawasan itu membuahkan hasil.

Kawasan tersebut sebelum ini menjadi kerusi panas di Selangor memandangkan bekas penyandangnya adalah satu-satunya wakil rakyat PKR yang melompat parti di Selangor.

Dua muka baru di Dun Pandamaran dan Kota Alam Shah, masing-masing dimenangi calon DAP, Tan Pok Shyong dan V Ganabatirau, manakala Klang kekal di bawah Charles Anthony Santiago.

Sementara itu, Parlimen Kota Raja memberi kejutan apabila semua penyandang asal di kerusi tersebut termasuk Seri Andalas dan Sri Muda mendapat pilihan rakyat dengan majoriti undi lebih besar daripada 2008.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud menang dengan majoriti 29,395 undi berbanding dengan 20,751 undi pada pilihan raya umum 2008, Adun Seri Andalas (15,633 undi berbanding 10,203) dan Shuhaimi Shafiei (12,250 undi berbanding 5,964).

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.