Bicara Kes Saman Anwar, Syed Hamid Pada 23 Jun

Kes-Saman-Anwar-Terhadap-Sy-565x423KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 23 Jun depan untuk perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar berhubung penyiaran satu artikel dalam sebuah akhbar.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam K.Muralidharan yang mewakili Anwar dan Peguam Kanan Persekutuan Tengku Intan Suraya Tengku Ismail bagi pihak Syed Hamid.

Murali memaklumkan pemberita bahawa pihaknya akan mengemukakan sebanyak lima saksi manakala pihak defendan akan mengemukakan seorang saksi iaitu Syed Hamid.

Anwar memfailkan saman menamakan Syed Hamid sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia defendan kedua selepas mendakwa bekas menteri itu mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen pada 2 Julai 2008, dan kenyataan berkenaan diterbitkan The Star bertarikh 3 Julai 2008.

Anwar mendakwa artikel itu menunjukkan beliau seorang pengkhianat, tidak setia kepada negara, agama dan bangsa serta seorang yang tidak boleh dipercayai.

Selain RM100 juta, beliau menuntut ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.