Bayi tujuh bulan nyaris dihempap dinding runtuh

Dr Azman (dua, kanan) menenangkan Fadzilah (dua, kiri) sambil diperhatikan Mohd Nasir (kanan).

Dr Azman (dua, kanan) menenangkan Fadzilah (dua, kiri) sambil diperhatikan Mohd Nasir (kanan).

KUALA KEDAH – Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan nyaris tercedera namun sempat diselamatkan bapanya daripada terkena dinding kayu kediaman mereka yang roboh selepas ditiup angin kencang, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Muhammad Adam Iman bersama ibu bapanya berada dalam rumah mereka di Kampung Sungai Batang, dekat sini, sebelum terdengar deruan angin kuat.

Bapanya, Fadzilah Harun, 41, berkata, dia segera menerpa ke arah bayinya kemudian mengalihkan kedudukan anak bongsunya itu dari bilik tidur ke ruang tamu.

“Kebiasaannya dia merangkak dalam bilik tidur saya. Nasib baik kami sempat mengangkatnya sebelum dinding kayu roboh selepas angin ribut membadai kediaman kami.

“Ketika itu, kediaman kami terasa bergegar seketika bak gempa bumi, sebelum dikejutkan bunyi bumbung jatuh ke sawah berhampiran,” katanya.

Fadzilah berkata, anak kedua, Nurul Fatin Najwa, 4, dan bayinya menangis akibat terkejut dengan kejadian terbabit bagaimanapun angin kuat itu seakan-akan berhenti sebaik dia melaungkan azan.

Katanya, angin terbabit tidak menerbangkan bumbung di bahagian bilik ibunya yang sedang bersolat semasa kejadian, sedangkan ia hanya bersebelahan biliknya.

“Banyak barang rosak termasuklah baju dan buku sekolah anak kerana basah. Malah, saya hantar ahli keluarga tinggal dengan kakak kerana bimbang berlaku kejadian tak diingini,” katanya.

Sementara itu, Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa yang turun padang bersama Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail bersimpati dengan nasib dialami kebanyakan mangsa ribut ini.

Mohd Nasir berkata, pihaknya hanya menerima lebih kurang lima aduan mangsa ribut di kawasan terbabit setakat ini bagaimanapun mereka sudah melawati mangsa yang terlibat.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.