Bayi 18 bulan lemas jatuh sungai

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas.

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas.

YAN – Naluri seorang ayah mengatakan anaknya yang hilang selepas bermain di pekarangan rumah mungkin terjatuh ke dalam sungai berdekatan akhirnya terjawab.

Ternyata sangkaannya itu benar apabila mangsa, Muhd Adam Mikhail Syukri, 18 bulan, ditemui lemas kira-kira satu kilometer dari rumahnya di Kampung Teroi, Guar Chempedak, di sini, kelmarin.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 3 petang itu berlaku apabila mangsa keluar bermain seorang diri di pekarangan rumah selepas mendapati pintu rumah itu tidak berkunci.

Perkara itu disedari ayahnya, Syukri Ishak, 50, selepas mendapati anak bongsu daripada enam beradik itu tiada dalam rumah.

“Saya tidak tahu macam mana kejadian itu boleh berlaku sebab ketika kejadian, kami sekeluarga berada dalam rumah.

“Puas kami mencari, tetapi tidak jumpa. Namun, naluri saya kuat mengatakan dia mungkin terjatuh ke dalam sungai berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Khuatir dengan perkara itu, Syukri meminta pertolongan penduduk setempat mencari anaknya di kawasan sekitar sungai yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Dia dan isteri, Rohani Hamid, 44, bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi itu.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba, Firdaus Bukhari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.42 petang sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

“Makluman awal orang awam mengatakan terdapat seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam Sungai Teroi.

“Usaha mencari dan menyelamat dijalankan. Mangsa kemudiannya berjaya ditemui kira-kira jam 5.35 petang,” katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ulu Dulang, di sini, kira-kira jam 12 tengah malam semalam.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.