Bapa sembunyi kegiatan anak

IPOH – Pendapatan kecil sebagai tukang besi dan kesempitan hidup menyebabkan seorang lelaki bertindak melakukan kegiatan pengedaran dadah bagi memastikan keluarganya hidup mewah.

Mohd Shukri (dua, kiri) menunjukkan dadah jenis heroin yang dibungkus dalam peket kecil seberat dua gram untuk dipasarkan kepada pelanggan dengan harga RM80.

Mohd Shukri (dua, kiri) menunjukkan dadah jenis heroin yang dibungkus dalam peket kecil seberat dua gram untuk dipasarkan kepada pelanggan dengan harga RM80.

Bapanya yang bekerja sebagai pekerja am di Majlis Perbandaran Taiping (MPT) pula menikmati wang hasil jualan barang larangan itu dan menyembunyikan kegiatan tersebut daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegembiraan dua beranak itu berakhir apabila sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Pejabat Kontinjen (IPK) Perak dan BSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping menyerbu kediaman mereka di Taman Ria, Simpang, Taiping, Khamis lalu.

Serbuan itu dilakukan hasil intipan, risikan dan pengumpulan maklumat oleh  polis yang dijalankan sejak 2012.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, dalam serbuan yang dijalankan jam 2.45 petang, kedua-dua beranak berusia 33 dan 57 tahun itu sedang berehat di rumah.

Menurutnya, melalui soal siasat,  satu lagi serbuan dibuat di sebuah lagi rumah di Taman Sungai Mas yang dipercayai tempat menyimpan dan membungkus dadah.

“Sejurus tiba, rumah dilengkapi pintu jeriji besi itu berkunci dan anggota kami mengarahkan supaya pintu dibuka namun tidak diendahkan penghuni yang berada di dalam.

“Kami terpaksa mengumpil pintu berkenaan untuk masuk ke dalam rumah sebelum menemui dua lelaki bersembunyi di dalam bilik. Sewaktu kami cuba menahan suspek berlaku pergelutan namun tiada kecederaan berlaku,” katanya pada sidang media di IPK Perak, semalam.

Hadir sama,  Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid.

Mohd Shukri berkata, hasil pemeriksaan terhadap rumah itu, anggotanya menemui dadah dipercayai heroin dan ganja dengan jumlah berat 1.2 kilogram bernilai RM100,000.

Jelasnya, polis  turut menemui 1,041 peket kecil dadah heroin berwarna hijau dipercayai dari Pulau Pinang seberat dua gram setiap satu yang dijual dengan harga RM80 sepeket.

“Dadah tersebut dipercayai dijual kepada pelanggan di sekitar Taiping, Selama dan Kerian. Kami juga tidak menolak kemungkinan pelanggan yang membeli dadah tersebut menjualnya semula kepada pelanggan mereka di daerah lain.

“Kami turut menyita beberapa kenderaan iaitu tiga kereta, sebuah lori, dan dua motosikal, telefon bimbit jenama Samsung dan iPhone, barang kemas, mesin pemotong kayu, empat buku bank serta wang tunai dengan nilai sitaan berjumlah lebih RM250,000,” katanya.

Kata beliau, suspek yang berusia 22 tahun dan tidak bekerja manakala rakannya, juru kimpal berusia 19 tahun itu didapati positif dadah jenis ganja selepas ujian saringan air kencing dijalankan.

Tegasnya, keempat-empat suspek kini direman sehingga 10 April ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Melalui serbuan dan tangkapan itu, kami berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah terbesar bukan sahaja di Taiping dan di daerah sekitarnya,” ujarnya.

Mohd Shukri menasihatkan orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan mereka.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.