Bantu beli susu anak jiran

PORT DICKSON – Seorang lelaki maut di tempat kejadian apabila motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di susur masuk Lukut ke lebuh raya dari Port Dickson-Seremban kira-kira 9.25 malam kelmarin.

Mangsa cedera parah dan maut di tempat kejadian. Gambar kecil, Raj Vicneshwaran.

Mangsa cedera parah dan maut di tempat kejadian. Gambar kecil, Raj Vicneshwaran.

Sinar Harian difahamkan, mangsa yang masih bujang dalam perjalanan balik ke rumahnya selepas diminta untuk membeli susu anak jiran.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Abd Wahab Harun berkata, mangsa, M Raj Vicneshwaran, 27, maut di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

“Siasatan awal polis mendapati, kejadian kemalangan itu berpunca apabila tayar hadapan motosikal yang ditunggang mangsa bocor dan meletup mengakibatkan mangsa gagal mengawal kenderaannya.

“Mangsa kemudian terbabas ke kanan jalan dan kepalanya terhantuk ke besi penghadang jalan menyebabkan kepala mangsa cedera parah,” katanya kepada ketika dihubungi.
Abd Wahab berkata, mayat mangsa dihantar ke Rumah Mayat Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan jalan 1987,” katanya.

Tambah Abd Wahab, mangsa yang beralamat di Taman Port Dickson, Lukut menunggang motosikal jenis Honda EX5 berseorangan dari Lukut.

Saksi kejadian, Iskandar Shah Abdul Hamid, 35, berkata, mangsa menunggang motosikalnya dengan laju dan  memotong kenderaannya selepas Tol Port Dickson menuju ke Seremban.

“Ketika itu, saya terpaksa memperlahankan motosikal dan berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon. Mangsa dilihat menunggang dengan laju meninggalkan tempat saya berhenti.

“Tak sampai dua minit kemudian, saya meneruskan perjalanan dan terperanjat apabila beberapa buah kereta dilihat memperlahankan jalan dan kemudiannya saya tengok mangsa sudah terbaring dan berlumuran darah.

Tambahnya, keadaan mangsa cukup mengerikan apabila kepalanya pecah dan cebisan otak bertaburan di atas jalan raya.

“Saya dan beberapa pengguna jalan raya lain terpaksa menjaga lalu lintas kerana bimbang  mangsa akan dilanggar kenderaan yang datang dari arah Port Dickson menuju ke Seremban,” katanya. – Sinar Harian

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.