Balasan kerana ancam cedera ibu, kakak

Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari mahkamah.

Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari mahkamah.

KOTA BHARU- Seorang penganggur berusia 32 tahun, dijel 21 bulan oleh mahkamah majistret di sini, semalam, setelah didapati bersalah dua pertuduhan mengancam mencederakan ibu dan kakaknya.

Majistret, Mohamad Isa Mohamed menjatuhkan hukuman itu setelah Ng Chee Yew, 32, mengaku salah mengugut mencederakan ibunya, Goh Lay Eiang, 66, dan kakak kandungnya, Ng Phei Suan, 35, dengan mengacukan pisau ke leher kedua-dua mereka, kira-kira jam 7 petang pada 12 Mac lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Chee Yew didakwa membuat ugutan jenayah dengan mengacukan sebilah pisau ke leher Phei Suan dengan niat menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan dan kematian.

Pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan sebilah pisau ke leher Lay Eiang, juga dengan niat yang sama. Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di rumah mereka di Jalan Telipot.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang baru pulang daripada bersenam tiba-tiba mengamuk dan menyalakan api sambil berkata mahu membakar rumah jiran.

Tertuduh kemudian mengambil sebilah pisau di dapur dan pergi ke ruang tamu dengan mengacukan pisau yang dipegang ke leher ibunya, malah turut melakukan perbuatan sama terhadap kakaknya.

Chee Yew didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,  membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh dihukum penjara 21 bulan bagi pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua. Hukuman berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditahan pada 13 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.