Bakal pengantin terbabit kemalangan libatkan 7 kenderaan

ALOR GAJAH – Seorang bakal pengantin yang bakal melangsungkan perkahwinan minggu depan berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 215.8 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini.

Keadaan kereta dipandu Noridah remuk teruk sehingga barang hantaran dalam kenderaan itu turut rosak.

Keadaan kereta dipandu Noridah remuk teruk sehingga barang hantaran dalam kenderaan itu turut rosak.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang kelmarin, Noridah Anin, 25, seorang kakitangan swasta berkata, dia yang memandu kereta jenis Proton Saga gagal mengelak sebuah motosikal Honda Wave yang terbabas selepas bergesel dengan sebuah van.

Motosikal yang ditunggang seorang pemuda berusia lingkungan 20-an itu juga tercampak ke lorong tengah.

Selepas itu, datang sebuah lori yang turut gagal mengelak lalu merempuh motosikal terbabit dan terseret sejauh 15 meter sebelum muncul sebuah Proton Waja yang cuba mengelak hingga berlaku enam pelanggaran lain.

“Proton Waja yang brek mengejut menyebabkan kereta dipandu saya hilang kawalan lalu merempuh kereta itu sebelum kereta saya pula dirempuh sebuah bas ekspres.

“Ketika itu saya membawa barang hantaran yang sebahagiannya rosak akibat kemalangan ini. Mujur saya hanya luka ringan,” katanya yang dalam perjalanan pulang dari Sungai Buloh, Selangor ke Tangkak, Johor.

Kemalangan itu juga turut melibatkan rempuhan daripada Perodua Myvi, kereta pacuan empat roda, Proton Saga FLX dan sebuah Toyota Innova.

Bagaimanapun, kesemua mangsa yang terlibat dalam rempuhan itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Sementara itu, pemandu lori, Mohd Khalili Md Yunos, 32, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Cheng, Melaka untuk menguruskan dokumen kenderaan baru syarikat sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah di Muar, Johor.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang lelaki terbabit bergesel dengan sebuah van dari lorong kecemasan ke lorong kiri.

“Disebabkan jarak lori dan motosikal berkenaan terlalu dekat, saya gagal mengelak dan merempuh motosikal terbabit,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.