Bahaya Ubat Batuk dan Selesema Terhadap Kanak-kanak

girl-taking-medicine-how-to-treat-the-flu-in-children

Jika ditanya kepada mana-mana ibu bapa, pasti mereka akan bersetuju bahawa anak kecil yang mengalami batuk dan selesema adalah antara  perkara yang paling sukar untuk ditangani. Seorang kanak-kanak pasti tidak dapat bernafas dan tidur dengan selesa sekiranya hidung mereka tersumbat. Semestinya setiap ibu bapa yang pernah berjaga malam ketika anak tidak sihat sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan rawatan atau ubat yang dapat melegakan anak mereka supaya kembali nyenyak.

Kebanyakan ibu bapa tidak mengetahui bahawa organisasi kesihatan seluruh dunia secara amnya telah mengeluarkan amaran keras tentang penggunaan ubat batuk dan selesema bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun sekiranya tanpa arahan para doktor. Amaran ini telah dikeluarkan sejak beberapa tahun yang lalu. Dari tahun 2008, syarikat pengeluar ubat dan penguatkuasa kesihatan telah bekerjasama untuk memaklumkan para doktor, ahli farmasi dan ibu bapa bahawa ubat batuk dan selesema tidak sesuai digunakan untuk kanak-kanak berumur kurang daripada 2 tahun. Malangnya, kebanyakan ubat-ubat ini mudah didapati dari kedai atau farmasi tanpa memerlukan pengesahan dan kebenaran doktor. Situasi ini menggambarkan betapa perlunya informasi tentang bahaya ubat-ubat ini disebarkan di kalangan ibu bapa.

Ubat-ubat ini termasuk yang mengandungi kompaun yang mampu melegakan hidung tersumbat seperti ephedrine, pseudoephedrine, atau phenylephrine, antihistamin yang membawa kesan mengantuk seperti diphenhydramine, brompheniramine, promethazine atauchlorpheniramine serta ubat mengeluarkan kahak seperti guaifenesin dan ipecacuanha. Kumpulan ubat yang paling membimbangkan adalah antihistamin yang membawa kesan mengantuk (antihistamin generasi pertama).

Mengapa amaran dikeluarkan?

Di Amerika Syarikat, isu-isu seperti penyalahgunaan ubat, preskripsi ubat yang tidak tepat, pengambilan ubat secara berlebihan dan penggunaan gabungan ubat-ubat yang tidak sesuai adalah di tahap membimbangkan. Lebih menggerunkan, terdapat juga kes-kes yang melibatkan kesan sampingan buruk atau kematian kanak-kanak di bawah umur 2 tahun yang diberi ubat batuk dan selesema ini.

Hasil kajian dan penyelidikan pemasaran ubat mendapati bahawa tiada bukti yang kukuh menunjukkan keberkesanan penggunaan ubat batuk dan selesema bagi kanak-kanak berumur kurang dari 2 tahun. Apabila risiko kesan sampingan negatif diambil kira, tiada justifikasi untuk pemberian ubat-ubat ini kepada kanak-kanak.

Apakah kesan sampingan yang lazim ubat-ubat ini?cough

Antihistamin generasi pertama mampu meresap ke bahagian otak dengan mudah menyebabkan kesan sampingan lebih dirasai berbanding dengan antihistamin generasi kedua yang hanya diserap dalam kuantiti yang sedikit. Ubat ini lebih berkesan kepada organ sasaran selain otak. Walaupun begitu, penggunaan antihistamin generasi kedua (cetirizine, loratidine) tetap tidak digalakkan untuk kanak-kanak berumur kurang daripada 2 tahun.

Antihistamin generasi pertama juga boleh menyebabkan mengantuk, pening dan hilang koordinasi badan. Kesan-kesan lain pula termasuk ketar pada anggota badan, halusinasi dan sawan. Kanak-kanak yang diberi dos ubat yang berlebihan mungkin boleh mengalami kesukaran bernafas, koma dan seterusnya, kematian. Ubat antihistamin generasi kedua juga boleh menyebabkan mengantuk, peningkatan kadar denyutan jantung dan sakit kepala.

Apakah tindakan yang boleh diambil oleh ibu bapa bagi kanak-kanak yang terlalu kecil untuk menggunakan ubat batuk dan selesema?

Terdapat beberapa saranan iaitu: –

  1. Penggunaan ‘mist humidifier’ dapat membantu melegakan  hidung tersumbat dan memudahkan pernafasan.
  2. Titisan cecair saline atau semburan saline mengekalkan kelembapan rongga hidung dan mengelakkan hidung tersumbat.
  3. Hidung kanak-kanak terutama yang berumur kurang daripada setahun boleh disedut menggunakan picagari ‘bulb’ beserta atau tanpa titisan saline.

Jika anak saya berumur lebih 2 tahun dan diberi ubat batuk atau selesema?

Ibu bapa harus berjaga-jaga dan

  1. Sentiasa peka dan ikut arahan dan informasi yang terdapat pada label ubat.
  2. Jangan melebihi dos yang ditetapkan meskipun kanak-kanak tersebut seakan tidak menunjukkan tanda-tanda positif dengan dos yang disarankan.
  3. Sukatan ubat haruslah dilakukan menggunakan sudu penyukat atau picagari yang disediakan bersama ubat tersebut. Jangan menggunakan sudu makan yang biasa dengan aggapan bahawa 1 sudu kecil bersamaan dengan 5 ml.
  4. Jangan menggabungkan ubat batuk/selesema berlainan tanpa arahan daripada doktor atau ahli famasi.

Sila dapatkan kepastian daripada ahli farmasi atau doktor sekiranya terdapat sebarang kemusykilan.

Sumber: mmgazette.com

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.