Azan buat mualaf tertarik dengan Islam

Muhammad Nabil Fikri sedang memberi penerangan kepada pelancong asing di Masjid Kapitan Keling, Georgetown sebelum ini.

Muhammad Nabil Fikri sedang memberi penerangan kepada pelancong asing di Masjid Kapitan Keling, Georgetown sebelum ini.

KANGAR – Seorang jurutera sanggup melepaskan jawatannya untuk mendalami agama Islam selepas mendapat hidayah melalui azan yang didengarinya setiap hari.

Abu Thalib Choo Ah Boo, 39, berkata, semasa menjawat jawatan jurutera di sebuah kilang di Pulau Pinang, beliau sering bertanyakan kepada rakan-rakannya yang beragama Islam mengenai laungan azan.

“Setelah selalu mendengar azan, saya akan tanya kepada kawan apa maksud azan, kenapa perlu azan dan pelbagai soalan lagi yang saya lemparkan.

“Melalui jawapan yang saya peroleh dan buku-buku agama yang saya baca, akhirnya saya memeluk Islam pada 8 Februari 2008 walaupun ditentang oleh keluarga,” katanya pada program Perkampungan Sunnah 2015 di pekarangan Masjid Syed Alwi, di sini.

Anak bongsu daripada empat beradik ini berkata, setelah memeluk Islam, beliau aktif menjadi sukarelawan Persatuan Al-Islah sehingga beliau merasakan begitu serasi dengan kerjayanya sebagai sukarelawan.

Katanya, melalui persatuan itu jiwanya rasa lebih tenang selain dapat mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam.

“Akhirnya saya nekad berhenti kerja untuk memberi perhatian kepada kerja-kerja sukarelawan.

“Dalam masa sama, saya sering dijemput menjadi panel bagi program-program berbentuk dakwah dan keagamaan.

“Di situ saya sering berkongsi mengenai perjalanan hidup saya sebagai seorang mualaf yang berpegang kepada Ahlul Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Pelancong asing bertanyakan sesuatu kepada Muhammd Nabil Fikri di masjid berkenaan.

Pelancong asing bertanyakan sesuatu kepada Muhammd Nabil Fikri di masjid berkenaan.

Perlu berpegang kepada  Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Abu Thalib yang juga panel Bicara Mualaf di Perkampungan Sunnah berkata, hidayah yang diturunkan ALLAH kepada manusia melalui pelbagai cara dan beliau dipilih menerusi laungan azan.

“Itu kisah sebelum saya memeluk Islam, namun setelah memeluk Islam cara menghargai Islam itu adalah lebih penting melalui amalan serta perintah yang disyariatkan.

“Disebabkan itu, kita perlu hidup berpegang kepada Ahlul Sunnah Wal Jamaah, tidak kisah sama ada kita keturunan Islam atau baharu memeluk Islam. Kepatuhan itu yang membezakan kita sebagai Muslim,” katanya.

Pada majlis Bicara Mualaf, turut dijemput seorang lagi panel iaitu Muhammad Gerald Chin Wye Heung untuk membicarakan ‘Mengapa Kami Memilih Manhaj Sunnah’.

Dalam masa sama, program itu turut dihadiri Adun Indera Kayangan Chan Ming Kai.

Muhammad Nabil Fikri berkongsi cerita dan pengalaman bersama pelancong asing.

Muhammad Nabil Fikri berkongsi cerita dan pengalaman bersama pelancong asing.

Pernah dipengaruhi rakan peluk Kristian

Sementara itu, bagi Eksekutif Dakwah Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Muhammad Nabil Fikri Suberi, 24, beliau mempunyai pengalaman hidup yang berbeza biarpun dilahirkan sebagai seorang Islam.

Katanya, ketika melanjutkan pelajaran di sebuah universiti tempatan dalam jurusan perakaunan, beliau leka dengan duniawi sehingga pernah dipengaruhi rakannya untuk memeluk Kristian.

“Dari situ saya mula membaca Bible  namun, hati saya tidak merasa puas dan terus cuba membaca beberapa lagi kitab berdasarkan kepercayaan Buddha dan Hindu.

“Selepas itu saya membaca al-Quran dan ternyata di dalam al-Quran, ALLAH  menyebut pelbagai kisah mengenai orang bukan Islam dan dari situlah saya terus mendalami agama Islam, di samping mendengar ceramah agama termasuk ceramah dari IPSI anjuran pihak universiti,” katanya ditemui di ruang pameran IPSI.

Jadi pendakwah kepada pelancong asing

Menurutnya, setelah tamat pengajian pada tahun lalu, beliau ditawarkan menjadi sebahagian dari kakitangan pertubuhan itu yang beroperasi di Pulau Pinang Januari lalu.

Katanya, menerusi program Awareness Through Mosque Tour (ATMT), beliau kini aktif berdakwah kepada pelancong asing di Masjid Kapitan Keling, Georgetown.

“Setakat ini sudah tiga orang pelancong asing memeluk agama Islam hasil penerangan mengenai Islam. Walaupun penerangan saya itu lebih kepada sejarah masjid itu, namun secara perlahan-lahan saya akan selitkan mengenai agama.

“Apabila mereka tertarik dan mahu memeluk Islam, IPSI akan menguruskan prosedur kemasukan Islam itu dan butiran terperinci mengenai pelancong itu dimaklumkan kepada pertubuhan tersebut yang beroperasi di negara asal pelancong berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya,  biarpun beliau tidak bekerja dalam bidang yang dipelajari, namun berasa amat bertuah apabila diberi hidayah untuk menjalani hidup sebagai seorang Muslim.

Pada program Perkampungan Sunnah 2015 anjuran Jabatan Mufti negeri Perlis itu, turut diadakan pelbagai aktiviti melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan  berakhir malam kelmarin (Ahad). – Sinar Harian

Incoming search terms:

  • kisah mualaf malaysia
  • Mualaf Malaysia
  • cerita mualaf malaysia
  • kisah islam mualaaf di malaysia
  • mualaf
  • pelancong di masjid

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *