Apabila bibir kurang zikir

image (7)

SEBUAH kereta tersangkut dalam kesesakan jalan raya yang teruk. Langsung tidak boleh bergerak. Pemandunya pula penat, niat di hati mahu cepat sampai rumah. Namun, jiwanya ingin mengejar ganjaran pahala, lantas bibirnya perlahan-lahan mengalunkan zikir. Kesannya, walau berada di tengah kesesakan lalu-lintas yang teruk, jiwanya berasa sungguh damai. Indahnya alunan zikir.

Apa itu zikir? Zikir adalah satu amalan yang disyariatkan dalam Islam dan banyak disebut dalam ayat-ayat al-Quran, antaranya ALLAH SWT berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama ALLAH dengan sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah pada waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Ahzab: 41 hingga 42)

Nabi Muhammad SAW juga menyebut mengenai pensyariatannya dalam hadis yang diriwayatkan Ahmad dan Tirmizi.

MUDAH TAPI JAGA ADAB

Menurut pendakwah, Ustaz MK Azman Daud, zikir adalah amalan yang mesti diperbanyakkan tanpa syarat-syarat tertentu sebagaimana ibadah lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Hamba yang berhadas besar seperti haid dan berjunub, boleh berzikir tanpa perlu bersuci. Walaupun begitu adabnya hendaklah dijaga seperti makruh berzikir semasa berada di dalam tandas, sedang mandi dan berjimak.

“Zikir dari segi bahasa adalah sebut dan ingat. Menurut istilah tasawuf pula, zikir bermaksud terlepas daripada kelalaian dan kelupaan hati dengan sentiasa berasa hadir hati berserta ALLAH (ingatan dan kehadiran hati yang kuat lagi berterusan terhadap makna-makna ketuhanan ALLAH sehingga terbuang kelalaian daripada hati tersebut dengan tujuan mendekatkan diri kepada ALLAH). Bertasbih, tahmid, takbir, tahlil dan membaca al-Quran adalah termasuk dalam zikir.

“Namun yang menjadi inti pati dari semua jenis-jenis zikir ini ialah ingat kepada ALLAH (zikrullah). Oleh itu dapat dikatakan zikir merangkumi dua perkara iaitu sebutan (zikir lisan) dan ingatan (zikir hati) terhadap ALLAH dan perkara yang berkaitan dengannya,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, secara asas apabila disebut berzikir, hati hendaklah ingat pada ALLAH. Jangan pula bibir sahaja mengungkap kalimah zikir tapi hati kosong tanpa ingat ALLAH. Zikir sebegitu tidak membuahkan hasil iaitu ketenangan dalam jiwa.

ALLAH berfirman: “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenang.” (Surah Ar-Ra’du: 28)

TUNTUTAN BERZIKIR

Kita adalah hamba yang lemah. Tiada daya upaya melainkan pengharapan kepada-Nya. Ada kalanya jiwa kita kuat, ada kala jiwa kita lemah, gundah gulana, tidak tenteram dan kacau bilau. Kerana itu, kita dituntut supaya sentiasa berzikir kepada ALLAH.

Antara lain adalah kerana:

1) Manusia bersifat lupa dan lalai. Hanya dengan berzikir membantu manusia agar sentiasa mengingati ALLAH dalam apa jua keadaan sekalipun.

2) Zikir membantu membersihkan hati manusia daripada kekaratan dosa dan sifat mazmumah. Menerusi zikir, ia membantu membersihkan dan melembutkan hati daripada bisikan jahat nafsu dan syaitan.

3) Membantu manusia menghadapi segala macam cabaran dan dugaan hidup yang boleh menggugat ketenangan hati.  Sesungguhnya ketenangan datang dari hati yang sentiasa ingat dan yakin dengan ALLAH dan menghayati sifat-Nya.

4) Mampu menjadi pendinding diri daripada kejahatan manusia, syaitan dan jin. Zikir juga boleh menjadi pendinding kepada ilmu sihir.

5) Zikir menjadi sebab ALLAH memelihara seseorang hamba-Nya daripada perkara yang memudaratkannya. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 152.
Ustaz MK Azman menjelaskan, Nabi SAW adalah insan agung yang paling banyak berzikir dan mengingati ALLAH. Baginda SAW memperkenalkan kepada kita pelbagai untaian zikir untuk diamalkan pada waktu pagi dan petang, pelbagai zikir dan doa sebelum memulakan sesuatu pekerjaan dan segala macam doa untuk memohon rahmat dan keampunan ALLAH.

“Bayangkan betapa banyaknya zikir-zikir yang disarankan oleh Rasulullah SAW bermula dari saat bangun tidur sehinggalah hendak tidur semula sampaikan kita tidak mampu untuk ingat dan mengamalkannya secara konsisten.

“Antara zikir yang Nabi SAW tidak pernah tinggalkan ialah istighfar. Walaupun Nabi SAW seorang yang maksum yakni terpelihara dari melakukan dosa, namun Baginda SAW tetap beristighfar pada ALLAH dan bertaubat kepada-Nya lebih 70 kali sehari. Agak-agak, kita manusia yang tak terlepas dari melakukan dosa ni, berapa kali kita beristighfar dan bertaubat kepada ALLAH dalam sehari?,” tanyanya kepada pembaca.

Beliau berkata lagi, kita sebenarnya ada banyak masa untuk berzikir. Tak susah pun untuk berzikir. Hanya dengan menggerakkan bibir dan ingat dalam hati. Susah sangat ke nak gerakkan bibir sebut kalimah zikir? Di bibir kita bukan ada batu sehingga sukar untuk kita menggerakkannya.

Sebab itu Nabi SAW bersabda: “Dua kalimah yang ringan di bibir, tapi berat pada timbangan, malah disukai oleh Arrahman adalah Subahanallahi Wabihamdihi Subhanallah Al-Adzhim.”

RINGANKAN BIBIR, LATIH HATI

Nabi SAW mengesahkan, menggerakkan bibir untuk berzikir tidaklah berat, ia ringan sahaja. Yang berat ialah hati. Jika hati tidak dilatih untuk berzikir, berilah masa lebih 24 jam atau hidup selama 100 tahun sekalipun, dia tidak akan berzikir. Tetapi bagi orang yang hati dan jiwanya untuk berzikir pada waktu pagi dan petang, sama ada dia duduk atau berdiri, orang seperti ini akan memanfaatkan umurnya untuk mengingati ALLAH. Sambil memandu, boleh berzikir, sambil menonton televisyen, boleh berzikir, sambil menunggu makanan di restoran, boleh saja berzikir. Apa sahaja ruang masa yang ada, berzikirlah.

“Kalaulah kita ni betul-betul malas nak berzikir, kita patut rasa malu pada katak. Kenapa perlu malu dengan katak? Sebab dengan merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh An-Nasai: “Suara katak itu tasbih, memuji ALLAH.” Juga hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar: “Janganlah kamu membunuh katak kerana bunyi katak menguak itu adalah tasbih.” Orang yang malas berzikir juga perlu malu pada semut. Semut yang kecil itu, mereka juga sentiasa berzikir kepada ALLAH. Patut malu juga pada ulat, burung, gunung-ganang dan seluruh alam semesta kerana semua makhluk itu sentiasa berzikir.

“Apa buktinya? Ini buktinya berdasarkan hadis Nabi yang diriwayatkan Abu Hurairah: “Daripada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya seekor semut menggigit salah seorang nabi lalu nabi tersebut menyuruh membakar sarang semut tersebut, tetapi ALLAH menurunkan wahyu kepadanya: “Apakah gara-gara seekor semut menggigitmu lantas kamu akan binasakan satu umat yang selalu membaca tasbih.” Terangnya lagi.

Menurutnya, jika makhluk lain semua berzikir dan bertasbih kepada ALLAH, kenapa kita yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian malas untuk berzikir?

DIDIK REMAJA

Mendidik remaja supaya meninggalkan lagu lara dan mendekatkan diri dengan zikrullah tidak semudah mendidik anak kecil. Jika anak kecil mudah untuk kita lagukan zikir dengan nasyid, suruh buat itu ini mudah mereka laksanakan. Tapi tidak untuk golongan remaja. Apatah lagi jika lagu cintan-cintun itu sudah sebati dalam diri. Proses memberi kesedaran kepada remaja ini perlu ditangani sepenuhnya oleh ibu bapa mereka.

Kebanyakan proses pembelajaran dan didikan bermula dari rumah.

Pertama: Ibu bapa perlu gantikan jenis lagu hiburan dalam rumah daripada lagu-lagu lara kepada alunan zikir. Pasang setiap hari supaya kalimah zikir yang didengari itu terpasak dalam hati.

Kedua: Ibu bapa perlu adakan majlis taklim di rumah. Sekurang-kurangnya lepas Maghrib. Ajar anak-anak zikir yang diamalkan Nabi SAW dan kelebihannya. Amal bersama-sama contohnya zikir ma’thurat. Ia boleh dibaca pagi dan petang. Jika tak mampu habis zikir ma’thurat kubra, memadailah dengan ma’thurat sughra. Tidak sampai 15 minit.

Ketiga: Ibu bapa perlu tunjukkan contoh amalan zikir kepada anak-anak. Ketika dalam kereta, pasanglah lagu alunan zikir ataupun berzikir beramai-ramai dalam kereta. Insya-ALLAH dengan ketiga-tiga cara ini, ia akan menyedarkan remaja kelebihan berzikir.

ALLAH memuji golongan yang berzikir melalui firman-Nya dalam Surah Al-Ahzab ayat 35. Sebagai contoh ganjaran orang berselawat ke atas Nabi SAW, sekali kita berselawat, ALLAH akan balas 10 kali selawat (diberikan keberkatan dan rahmat) kepada kita.

Begitu juga ganjaran orang yang menyebut zikir Subhanallah wa bi hamdihi berdasarkan riwayat At-Tirmizi, nescaya akan ditanamkan satu pohon kurma baginya dalam syurga.

Jika seseorang itu melafazkan zikir tersebut sebanyak 100 kali, maka dia akan diampunkan segala dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. Ini adalah sedikit dari ganjaran ALLAH sediakan bagi orang berzikir.

Kesimpulannya, amalan zikir bukan sekadar ibadah, tetapi amalan yang membersihkan dan menyucikan jiwa manusia, mendekatkan diri kepada penciptanya, membuka hijab rohani dan seterusnya mencapai makrifat terhadap-Nya.

INFO: ZIKIR PALING SENANG, MUDAH RAIH PAHALA

Semua zikir membawa kepada mengingati ALLAH, cumanya saya mahu kongsikan zikir sayyidul istighfar (penghulu segala istighfar). Dari Syaddad bin Aus RA dari Rasulullah SAW bersabda: “Penghulu istighfar ialah “Allahumma anta… (Sesiapa yang

membacanya dengan penuh keimanan waktu petang dan mati pada malam itu, maka masuk syurga. Demikian juga siapa yang membacanya waktu pagi dan mati pada hari itu masuk syurga).” (Riwayat Bukhari)

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.