Anwar punca PKR kalah

ALOR SETAR – Kekalahan Pakatan Rakyat (PR) khususnya PKR di Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) didakwa berpunca daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wan Salleh

Wan Salleh

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata, akibat ketegasan Anwar supaya dirinya tidak dicalonkan semula di mana-mana kerusi Dun atau Parlimen Langkawi telah menyebabkan rakyat menolak kepimpinan baru.

Beliau berkata, dirinya bertambah kesal dan kecewa apabila timbul pula khabar angin bahawa dirinya tidak bertanding semula selepas PRU12 adalah kerana sudah tahu akan kalah dengan pihak lawan pada PRU13.

“Sebab Anwar tidak bagi saya bertanding di Langkawi, akhirnya jadi fitnah hebat di sini. Terutama sekali kepada diri saya yang dituduh ambil duit, khianat kepada parti dan sebagainya.

“Saya menyeru supaya masyarakat di luar sana dapat berfikiran terbuka bahawa tidak pernah terjadi pun dakwaan saya menerima imbuhan daripada individu tertentu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Wan Salleh turut merayu supaya tohmahan tersebut dapat dihentikan segera sambil menegaskan bahawa perkara tersebut tidak pernah berlaku terhadap dirinya.

“Jagalah imej dan nama baik saya di Langkawi. Saya telah bawa parti dengan perbelanjaan yang tinggi. Saya keluar duit yang begitu banyak untuk hidupkan parti. Tiba-tiba Anwar boleh ambil orang lain sebagai calon di situ.

“Bila tidak menang, mereka salahkan saya pula kononnya saya ini belot kepada parti sehingga kalah. Kalau rakyat sudah tidak suka, mana boleh kita paksa. Akurlah dengan keputusan itu,” katanya.

Beliau yang pernah menjadi calon bagi kerusi Parlimen Langkawi pada PRU12 turut menafikan dakwaan bahawa pernah berjumpa dengan pemimpin Umno  untuk berbincang soal pilihan raya.

“Ini semua adalah fitnah dan cubaan untuk mencemarkan nama baik saya oleh pihak tertentu. Ini satu tuduhan yang paling hina dan bodoh. Saya harap agar semua masyarakat di Langkawi jangan mudah percaya dengan tomahan tersebut. Saya juga pernah diberikan tawaran oleh pihak tertentu sebelum hari penamaan calon bagi PRU13, tapi saya tidak terima sebab masih setia,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.