Anwar: Jangan biar ‘watak utama’ kes 1MDB terlepas

image (8)

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap ‘watak utama’ skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa bagi memastikan watak utama atau saksi skandal itu yang berada di luar negara dapat ditangkap.

“Pihak berkuasa mesti bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa seperti Interpol, kerana beberapa ‘watak utama’ atau saksi kini berada di luar negara.

“Tindakan tegas mesti diambil untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan para pelabur. Tiada sesiapa yang bersalah, tidak kira betapa tinggi kedudukannya, patut terlepas,” katanya melalui perutusan yang disampaikan melalui peguamnya, semalam.

Dalam perutusan sama, Anwar turut menyentuh soal tangkapan yang telah dilakukan pihak berkuasa berkaitan siasatan terhadap 1MDB.

“Skandal ini telah mendedahkan kepincangan urus tadbir dan rasuah di peringkat tertinggi kepimpinan BN yang amat mengejutkan, di mana Perdana Menteri sendiri didakwa terlibat.

“Walaupun beberapa tangkapan telah dilakukan, tidak salah untuk umum terus berasa curiga sehinggalah tindakan diambil terhadap ‘watak utama’ skandal ini,” katanya.
Anwar turut menekankan bahawa kerajaan perlu memberi penjelasan terhadap tahap ‘kesihatan’ kewangan negara.

“Kini, negara menghadapi kehilangan berbilion ringgit dan rasa malu di kalangan masyarakat antarabangsa, nilai mata wang ringgit merudum dan keyakinan pelabur tergugat.

“Ini mendatangkan kesan kepada kesihatan kewangan setiap rakyat Malaysia, dan BN mesti berikan penjelasan,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.