Anak maut, ibu parah kereta terjunam

Anak maut, ibu parah kereta terjunam

KUALA LUMPUR – Seorang budak perempuan tujuh tahun maut, manakala ibunya cedera parah apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang besar di Persiaran Sering Ukay, Ukay Perdana, di sini, malam tadi.‎

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nizam Abd Razak berkata Nur Fatin Yakob, 26, cedera parah di kepala, kaki dan tangan manakala anaknya Nur Istihar Balqis Shahrul Mahfuz meninggal dunia di tempat kejadian.

“Ketika bomba tiba di lokasi kejadian, Nur Fatin didapati tercampak tiga meter dari kenderaan itu dan anaknya yang berada di tempat duduk penumpang sudah meninggal dunia.

“Pihak bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mayat budak perempuan itu untuk dibawa ke hospital,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Nizam berkata kenderaan jenis Chevrolet Colorado itu terjunam ke dalam longkang sedalam empat meter.

Beliau berkata tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah bersama sebuah jentera ditugaskan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 9.46 malam tadi, dan tiba di lokasi 34 minit kemudian.

Mayat Nur Istihar Balqis dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat manakala Nur Fatin dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.