Amirul tidak kisah jual patung beruang

image (5)

KEKURANGAN wang perbelanjaan sewaktu menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) enam tahun lalu, menyebabkan pengasas Syarikat Amirul Mukmin Resources, Amirul Mukmin mengambil keputusan menjual anak patung beruang (teddy bear) yang menjadi trend pilihan popular.

Amirul, 25, berkata, hasil jualan teddy bear itu digunakan sepenuhnya ketika belajar semester tiga kursus Perakaunan di UiTM Shah Alam, Selangor.

“Teddy bear merupakan sebahagian besar daripada cenderahati dan kesukaan pelbagai usia. Kelembutan bulunya dan selesa dipeluk adalah ciri-ciri asas yang cukup membuatkan orang ingin memilikinya.  Ia sememangnya anak patung comel dan melambangkan kasih sayang bersama sepanjang masa,” katanya.

Berpeluang menyertai program Mobiliti Pelajar ke Belanda selama enam bulan pada 2011, membuka mindanya untuk berniaga lebih baik daripada perniagaan diusahakan sebelum ini.

“Saya tidak bersama rakan lain melawat tempat menarik di negara tersebut kerana migrain. Saya mendapat idea berniaga teddy bear kerana ia mempunyai permintaan tinggi tetapi penawarannya dalam pasaran Malaysia masih rendah,” katanya.

Dia menggunakan wang simpanan sendiri sebanyak RM300 untuk membeli enam ekor teddy bear bersaiz sederhana dari China.

Amirul bersama isterinya yang sentiasa menyokong perniagaannya.

Amirul bersama isterinya yang sentiasa menyokong perniagaannya.

“Saya meminta pertolongan rakan, Nurul Hafizah Mohd Yusof yang kini adalah isteri saya menguruskan penghantaran kepada pelanggan. Saya mengiklankannya di mudah.my.

“Alhamdulillah, dalam masa dua minggu, kesemua teddy bear itu habis dijual. Ini menggalakkan kami untuk menambahkan lagi jualan teddy bear. Permintaan adalah tinggi dari semasa ke semasa melalui online,” katanya.

Dia juga pernah merasa tidak mempunyai wang mencukupi ketika memulakan perniagaan dahulu.

Katanya, setiap hari seseorang itu pasti berhadapan dan akan belajar dan pastinya melakukan penambahbaikan dalam perniagaan.

Kerap kehabisan stok

Amirul berkata, masalah yang sering dihadapinya ialah kerap kehabisan stok dan ejen terpaksa menunggu lama untuk mendapatkannya.

“Antara sebab teddy bear kami menjadi pilihan adalah harganya berpatutan dan teddy bear gemuk serta kelebarannya membezakan dengan perniagaan teddy bear lain.

“Setiap teddy bear perlu ada ‘confirmity mark’ atau MC. Setiap unit yang dibeli perlu dihantar ke makmal untuk mendapatkan kelulusan dan baru boleh dijual. Kami mementingkan keyakinan pelanggan,” katanya.

Stor yang kecil juga menyebabkan stok dihadkan dan mengimport patung beruang tiga kali sebulan.

“Pengalaman pada 2013 apabila teddy bear yang kami terima tidak menepati kualiti dan tidak cantik. Waktu itu, kami tidak pandai berbahasa Mandarin untuk berkomunikasi dengan mereka.

“Kami membuat tempahan teddy bear berwarna ‘light brown’ tetapi kami menerima warna ‘cream’. Ia memberikan kesan kepada perniagaan kami kerana terpaksa menjual dengan harga lebih murah,” katanya.

Tambahnya, pada Februari, berlaku kehabisan stok kerana ia adalah bulan kekasih. Sebanyak 600 teddy bear habis dijual sebelum 10 Februari.

Katanya, patung beruang dijual serendah RM5 hingga RM250  mengikut saiz dan jenis iaitu Teds, Jimmy Bear, Konvo Bear dan Couple Bear.
Tubuh pusat borong teddy bear

Setiap insan pastinya mengimpikan syarikat mereka berkembang dengan maju, begitu juga dengan Amirul yang mahu membina empayar perniagaannya.

Dia berhasrat membuka pusat borong teddy bear di Klang dan berkongsi peluang itu kepada usahawan berminat dengan perniagaan itu.

“Ia bukan francais tetapi kami akan membantu mereka dalam perniagaan dan lokasi premis adalah pilihan mereka sendiri. Ia mengutamakan peniaga dari Lembah Klang, sahaja. Kami menjangkakan lima cawangan tambahan pada 2016,” katanya.

Tambahnya, dia menjangkakan jualannya akan meningkat kepada RM1 juta pada tahun ini berbanding hanya RM400,000 pada tahun lalu.

“Ia meningkat kerana trend jualan September hingga Disember tahun lalu meningkat dua kali ganda. Kami mengharapkan tahun ini ia akan mengekalkan momentum yang sama walaupun pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan,” katanya.

Katanya, kekuatan jenamanya dengan trademark, ‘bear besar gedabak’ juga menyebabkan ia dikenali dan proses penghantaran yang disediakan menjadi pilihan kepada pelanggan.

“BearBesar akan mempelbagaikan cenderahati berkaitan teddy bear antaranya menyediakan anak patung yang mempunyai t-shirt dan ucapan ringkas,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.