Almy kesal status peribadi jadi bahan sensasi

PELAKON, Almy Nadia mendakwa haknya telah dicerobohi apabila status dari aplikasi komunikasi sosial mudah alihnya, WeChat telah disiarkan tanpa pengetahuannya di dalam sebuah akhbar tempatan.

Almy Nadia

Almy Nadia

Status yang penuh emosi itu seterusnya menimbulkan kontroversi terhadap dirinya yang dikatakan sedang bersedih lantaran tiada perkembangan langsung mengenai hubungan cintanya dengan kekasih hatinya, Fizz Fairuz.

“Hak saya telah dicerobohi! Status itu bukanlah dari laman sosial Twitter, sebaliknya ia di ambil dari WeChat saya.

“Apa yang saya tahu, WeChat bukanlah satu laman sosial dan ia bersifat peribadi serta hanya boleh dibaca oleh sesiapa yang saya ‘terima’ untuk berkawan,” tegasnya ketika dihubungi Zass bagi mengulas mengenai perkara itu.

Almy yang cukup kesal dengan perbuatan itu memberitahu, ia menyebabkan pelbagai spekulasi telah timbul mengenai dirinya lebih-lebih lagi apabila melibatkan aktor tersebut.

“Saya tahu ramai lagi yang masih menghentam Fizz. Mungkin kerana pengalaman lalunya itu. Tapi, itu tidak bermakna dia sentiasa melakukan perkara yang buruk.

“Tapi, apa saja yang saya tulis itu, ia langsung tidak berkaitan dengan sesiapa. Terpulanglah pada andaian masing-masing.

“Saya tidak perlu menjawab mengenai isu tersebut sebaliknya tanyalah sendiri kepada orang yang menyebarkannya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pelakon yang berusia 27 tahun itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan hubungannya dengan Fizz.

“Saya tahu apabila orang masih lagi bertanya mengenai diri saya, itu bermakna saya masih lagi diingati dalam industri ini.

“Tapi, untuk perkara seperti ini, saya memang tidak mahu berkongsi. Sebab, jika saya bercakap pun, orang akan bercakap juga.

“Jadi, lebih baik saya tidak perlu berkata apa-apa. Jalan yang paling baik sekarang adalah dengan berdiam diri,” katanya.

 

Masih ‘laku’

Dalam perkembangan lain, biarpun dia dikatakan kurang mendapat tawaran lakonan, namun kini dia berpuas hati apabila masih lagi menerima tawaran daripada produksi.

“Kini saya sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri 13 episod terbitan RTM berjudul Gadis Faza bersama Bell Ngasri.

“Malah, saya juga akan muncul dalam program realiti kanak-kanak, Ceria Superstar sebagai tetamu jemputan, tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, dia juga masih menjalankan perniagaan menjual karipap bersama-sama ibunya di Pulau Pinang.

“Saya masih lagi menerima tempahan untuk membuat karipap yang diusahakan bersama-sama ibu,” akhirinya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.